HomeIsu tempatanUMS temui kulat biru indigo baharu di Taman Kinabalu, pertama di Malaysia

UMS temui kulat biru indigo baharu di Taman Kinabalu, pertama di Malaysia

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah sains negara apabila berjaya menemukan spesies kulat biru indigo baharu di Taman Kinabalu, sekali gus merekodkan penemuan pertama genus seumpamanya di Malaysia.

Kulat nadir yang dinamakan Calocybe kinabaluensis sp. nov. itu mempunyai ciri fizikal unik dengan payung (topi) berwarna biru pekat berdiameter antara 34 hingga 120 milimeter serta tangkai berwarna senada, manakala bahagian lamella (insang) di bawah topinya berwarna putih krim.

Kulat yang berfungsi sebagai agen pengurai semula jadi bagi menyuburkan tanah itu ditemukan menerusi kerja lapangan di tiga laluan utama Taman Kinabalu iaitu Bundu Tuhan, Liwagu dan Silau-Silau.

Sampel kulat berkenaan mula ditemukan oleh kakitangan Taman-Taman Sabah, Martinah Latim dan Jamil Kasmin pada Februari 2025 sebelum penemuan susulan direkodkan pada November tahun sama menerusi Program Renjer Muda yang melibatkan pelajar sekolah menengah daerah Ranau di Taman Kinabalu.

Program hasil kerjasama strategik antara Taman-Taman Sabah dan UMS sejak 2016 itu bertujuan memberi pendedahan serta mendidik generasi muda mengenai kepelbagaian bio-kulat yang terdapat di Sabah.

Kajian berimpak tinggi itu diketuai pakar mikologi UMS, Prof. Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan dengan kerjasama penyelidik daripada Taman-Taman Sabah, pelajar pascasiswazah UMS serta pakar antarabangsa dari University of Turin, Itali.

Bagi mengesahkan status spesies baharu itu dan membezakannya dengan spesies terdekat iaitu Calocybe cyanella, kumpulan penyelidik mengintegrasikan kaedah analisis DNA menerusi filogenetik molekul bersama pemerhatian ciri mikroskopik secara terperinci.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata penemuan berkenaan membuktikan hutan Sabah masih menyimpan khazanah biologi yang belum diterokai sepenuhnya.

“Kejayaan ini juga mencerminkan peranan UMS sebagai “Brain of Borneo” dalam menerajui penyelidikan biodiversiti ke peringkat global,” katanya. 

Spesimen holotaip kulat berkenaan kini diwarta dan disimpan di Koleksi Borneensis (BORH), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS menerusi pembiayaan geran penyelidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pelajar UMS dalami pendidikan awal kanak-kanak di Korea Selatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular