KOTA KINABALU : Satu spesimen tumbuhan misteri yang ditemui di Taman Bukit Tawau pada 2014 akhirnya disahkan sebagai spesies baharu oleh penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas tersimpan tanpa identiti di herbarium selama 12 tahun sebelum status saingifiknya berjaya dirungkai.
Spesies baharu dikenali sebagai Ardisia condensiflora itu diterbitkan secara rasmi pada 26 Mei lepas dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa, Phytotaxa (Vol. 758, No. 3).

Penemuan dan pengesahan spesies tersebut dilakukan oleh penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, Dr. Avelinah Julius bersama Dr. Timothy M.A. Utteridge dari Singapore Botanic Gardens dan IBTP, UMS.
Menurut kenyataan dari IBTP, tumbuhan itu ditemukan di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh serta di sepanjang tebing sungai dalam kawasan perlindungan Taman Bukit Tawau.
“Bagi mengesahkan status spesies itu, kajian taksonomi dan herbarium secara mendalam dijalankan menggunakan spesimen yang dipinjamkan daripada Herbarium Taman Sabah.
“Proses tersebut sekali gus membuktikan kepentingan koleksi herbarium dan kerjasama institusi secara berterusan dalam usaha merekodkan biodiversiti yang masih tersembunyi,” menurut kenyataan itu.
Hasil kajian mendapati Ardisia condensiflora setakat ini hanya ditemui di Taman Bukit Tawau, sekali gus menjadikannya spesies endemik Sabah.

Berdasarkan hanya dua rekod koleksi yang ditemui, spesies nadir itu dinilai secara awal sebagai Rentan (Vulnerable – VU D2) mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan taburan habitat yang sangat terhad, namun belum menerima penyenaraian rasmi badan berkenaan.
Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata hutan Sabah kekal menjadi antara “makmal hidup” paling berharga di dunia.
“Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi,” katanya.
Dr. Avelinah pula berkata penemuan tersebut menjadi peringatan bahawa Borneo masih menyimpan banyak spesies yang belum direkodkan oleh sains.
“Penerokaan saintifik, penyelidikan herbarium dan usaha pemuliharaan berterusan amat penting bagi memastikan spesies-spesies ini tidak pupus sebelum sempat dikenali,” katanya.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan penerbitan berkenaan merupakan antara hasil kerjasama melalui Surat Niat (LoI) antara UMS dan Singapore Botanic Gardens serta sokongan penyelidikan berterusan daripada Taman Sabah menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama IBTP, UMS.
Untuk rekod, sejak 2017, Dr. Avelinah telah menyumbang kepada penemuan dan pengesahan sekurang-kurangnya lima spesies baharu Ardisia di rantau ini.



