HomeIsu tempatan112 pelajar SMK Pinggan-Pinggan sertai BIOSPARK2026

112 pelajar SMK Pinggan-Pinggan sertai BIOSPARK2026

Read Time:1 Minute, 32 Second

PITAS : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bioteknologi menerusi Program BIOSPARK2026: Be The First, Be The Spark di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan, baru-baru ini.

Program anjuran pelajar Bioteknologi FST UMS dengan kerjasama U-Science UMS dan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS itu melibatkan 112 pelajar tingkatan tiga dan empat.

Majlis penutupan BIOSPARK2026 disempurnakan oleh Dekan FST UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee, dan turut dihadiri Pengetua SMK Pinggan-Pinggan, Ramin Pagi.

Menurut Rodeano, penganjuran program tersebut membuka ruang kerjasama antara UMS dan pihak sekolah dalam membudayakan pendidikan STEM, selain memberikan pengalaman pembelajaran yang dapat mencetuskan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.

“BIOSPARK2026 memberi peluang kepada pelajar meneroka STEM melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk mengenali bidang sains dan teknologi dengan lebih dekat,” katanya.

Terdahulu, Pengarah BIOSPARK2026, Nurhakimin Saruddin memaklumkan, program berkenaan memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan fasilitator serta meneroka konsep sains melalui pembelajaran yang aktif, menyeronokkan dan mudah difahami.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah senamrobik, ceramah STEM, BioTech Olympiad, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) serta lawatan ke tapak pameran interaktif yang membolehkan peserta melihat dan mencuba sendiri aktiviti berkaitan bioteknologi dan STEM.

“Penglibatan pelajar tingkatan tiga dan empat penting dalam membina keyakinan serta minat terhadap bidang sains, di samping memberi gambaran awal mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang bioteknologi,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelaras Kursus SY32803 Reka Bentuk Projek dalam Bioteknologi, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah berkata program itu membantu mendekatkan pelajar sekolah dengan bidang bioteknologi melalui aktiviti pembelajaran yang bersifat praktikal.

“Penglibatan 44 pelajar Bioteknologi sebagai fasilitator sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan serta meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyampaian ilmu,” ujar beliau. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS santuni komuniti luar bandar menerusi SMARTCOM 2.0

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular