TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca panas berpanjangan dari September hingga Februari depan.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementerian turut menyediakan garis panduan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan.
“Kita telah mengadakan perbincangan dan menyediakan garis panduan kepada semua petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya berhati-hati semasa musim ini.
“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, kita minta supaya dibuat kolam sebagai simpanan air untuk jangka masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Pejabat Pertanian Tenom, hari ini.
Jamawi berkata, pengusaha ternakan termasuk lembu tenusu, kambing dan perikanan juga perlu membuat persediaan bagi menghadapi cuaca panas.
Katanya, reka bentuk kandang perlu mempunyai pengudaraan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kementerian.
“Saya nanti akan kongsi dengan Jabatan Perikanan supaya SOP kita menghadapi El Nino dapat disebarluaskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata MAFFI sedang memperkukuh pembangunan industri pertanian di kawasan pedalaman sebagai sebahagian daripada perancangan mewujudkan zon industri berasaskan aktiviti pertanian.
Katanya, Pantai Barat Sabah sudah mempunyai beberapa zon industri termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), manakala Pantai Timur mempunyai POIC di Sandakan dan Lahad Datu.
“Di pedalaman ini kita cadangkan sebagai zon industri pertanian,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu sudah dimulakan di Beaufort menerusi pembinaan kilang memproses dan menghasilkan bantal berasaskan lateks.
Di Tenom pula, sebuah kilang memproses avokado telah diwujudkan, selain empat kilang memproses kopi.
Kementerian turut menyediakan peruntukan RM600,000 bagi membina pusat pengeringan kopi di Tenom bagi menyokong industri pemprosesan kopi di daerah berkenaan.
Di Keningau, MAFFI mencadangkan kawasan itu sebagai hab pemprosesan hasil tenusu dan daging lembu, mengambil kira kewujudan pengusaha seperti Eko Yap/Keningau Dairy dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang terlibat dalam penternakan lembu.
“Masih kekurangan untuk memproses. Sebab itu kita menjemput dan bekerjasama dengan Farm Fresh Sdn Bhd untuk mendirikan kilang berasaskan lembu tenusu dan juga lembu daging,” katanya.
Sementara itu, Tambunan akan dibangunkan dengan industri hiliran berasaskan halia.
Jamawi berkata, pembangunan industri hiliran penting bagi membolehkan hasil pertanian tempatan diproses menjadi produk bernilai lebih tinggi, sekali gus meningkatkan harga komoditi dan pendapatan petani.
“Bila ia jadi produk hiliran, ia akan menaikkan harga komoditi. Bila harga komoditi naik, yang untungnya adalah petani kita,” katanya.
Beliau memberi contoh harga susu getah atau lateks yang meningkat daripada kira-kira RM7.30 ketika beliau mula menjadi menteri kepada RM8.90 ketika ini, susulan usaha memproses lateks menjadi produk seperti bantal.
Katanya, lebih banyak usaha seumpama itu akan dilaksanakan kerana kementerian mempunyai perancangan jelas dan komited memastikan ia direalisasikan.
“Yang penting kita ada perancangan dan segala perancangan kita laksanakan. Pelaksanaan ini disokong komitmen Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Mengenai kilang avokado di Kampung Bunut, Jamawi berkata bangunan berkenaan telah siap dan kini dalam proses dilengkapi mesin serta peralatan.
Katanya, kos bagi melengkapkan kilang dengan mesin dan peralatan dianggarkan kira-kira RM2 juta.
Apabila siap, kilang itu akan memproses avokado kampung dan avokado KW1, dengan buah gred A dan B untuk dieksport, manakala buah gred C yang kurang menarik dari segi rupa akan diproses menjadi produk hiliran.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan, Jainisah Mohd Noor; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Mohammad Fauzi Ab Gulam; Pegawai Penerangan Tenom, Kenny Thomas dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Densely Justin.
Terdahulu, Jamawi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Tenom di Pejabat Daerah Tenom bersama ketua jabatan dan agensi kerajaan.



