TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau mengambil tindakan terhadap satu kes melibatkan pemilikan lima tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jeti CIQ Lama Tawau, pada Khamis.
Tindakan itu dijalankan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Tawau kira-kira jam 10.54 pagi, hasil maklumat risikan.
Menurut KPDN Tawau, pemeriksaan dan pemantauan di kawasan berkenaan menemukan lima unit tong LPG jenama MyGaz.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati pasukan penguat kuasa gagal menemui sebarang permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.
Sehubungan itu, satu tindakan kes diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], manakala kesemua tong LPG berkenaan disita untuk siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM533.
KPDN berkata, jika disabitkan kesalahan, pesalah bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan berikutnya pula, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
KPDN Tawau menegaskan komitmennya untuk terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang, khususnya berkaitan kawalan barang kawalan.
Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan salah laku perdagangan diseru menyalurkannya kepada KPDN melalui saluran aduan yang disediakan.
Aduan boleh dibuat menerusi portal e-Aduan KPDN, talian KPDN Tawau di 089-776690 atau WhatsApp Aduan Pengguna di 019-2794317 dan 019-8488000.



