KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan mutu pendidikan serta memastikan pembangunan akademik dan sahsiah murid di negeri ini terus diberi perhatian.
Kerjasama itu melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam usaha membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih menyeluruh.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pengiktirafan JPNS terhadap PIBKS sebagai rakan strategik membuktikan kepentingan penglibatan semua pihak dalam menyokong pembangunan pendidikan negeri.

Menurutnya, peranan PIBKS bukan sekadar membantu sekolah dalam aspek akademik, malah turut merangkumi pembentukan sahsiah, kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid.
Katanya, kerjasama erat antara agensi kerajaan, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta penting bagi memastikan pelbagai cabaran pendidikan dapat ditangani secara bersama, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“PIBKS akan sentiasa bekerjasama dan memberikan komitmen melalui pelbagai bentuk kolaborasi, terutama dalam aspek pembangunan dan kemajuan sahsiah pelajar di negeri Sabah.
“Peranan kita bukan hanya membantu pihak sekolah, tetapi turut menjadi penghubung antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Anugerah Bakti Gemilang pada Majlis Anugerah Pamer Keunggulan (APK) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di sini, Khamis.
Majlis itu disempurnakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Mengulas lanjut, Arif berkata, antara fokus utama PIBKS Sabah ialah membantu menangani isu keciciran murid menerusi pelaksanaan Program Intervensi Murid Cicir dan Berisiko Cicir dengan kerjasama JPNS, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah.

Katanya, pendekatan turun padang dilaksanakan bagi mendekati murid dan keluarga mereka, selain mengenal pasti faktor yang menyebabkan seseorang murid berisiko meninggalkan alam persekolahan.
Antara cabaran dikenal pasti termasuk kekangan ekonomi keluarga, kemudahan pengangkutan, kedudukan geografi dan faktor kekeluargaan yang memerlukan perhatian serta tindakan bersama.
Menurutnya, cabaran berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh bagi memastikan murid di kawasan luar bandar, pedalaman dan kepulauan turut mendapat akses serta peluang pendidikan sewajarnya.
Selain itu, PIBKS turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan persediaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam kalangan murid yang berisiko tidak hadir menduduki peperiksaan.
Usaha itu dilaksanakan menerusi pendekatan menyantuni calon dan keluarga masing-masing, selain memberikan sokongan moral, motivasi serta dorongan bagi meningkatkan keyakinan diri dan kehadiran mereka ke sekolah serta peperiksaan.
Dalam masa sama, penglibatan ibu bapa terus diperkukuh bagi memastikan calon mendapat sokongan sewajarnya sepanjang tempoh persediaan menghadapi peperiksaan.
Arif berkata, PIBKS juga memberi perhatian terhadap isu keselamatan dan kesejahteraan murid, termasuk gejala buli yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran pembelajaran yang selamat.
Sehubungan itu, kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah turut menjadi antara pendekatan penting dalam meningkatkan kesedaran serta membincangkan langkah pencegahan dan intervensi berkaitan isu buli.
Katanya, usaha membendung buli fizikal, verbal dan siber tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pihak sekolah, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa, komuniti dan agensi penguat kuasa.
Dalam perkembangan lain, PIBKS Sabah turut memperluas jaringan kerjasama dengan pemain industri menerusi penyertaan dalam forum dan sesi dialog Industry–Education Town Hall sempena Ideas Playground 2026.
Menurutnya, platform itu membuka ruang perbincangan mengenai keperluan kemahiran masa depan, laluan pendidikan dan kerjaya, selain memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dengan industri.
Beliau turut menggalakkan pemain industri, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya bersama-sama menyokong pelaksanaan program pendidikan menerusi sumbangan kepakaran, sumber serta peluang pembangunan kemahiran kepada generasi muda.
Mengulas pengiktirafan diterimanya, Arif berkata, Anugerah Bakti Gemilang itu bukan kejayaan individu semata-mata, sebaliknya penghargaan kepada seluruh keluarga besar PIBKS Sabah yang selama ini berganding bahu memperkasakan pendidikan negeri.
Katanya, penglibatan hampir lima tahun sebagai Focal Person di peringkat kebangsaan turut memberikan pengalaman dan pemahaman lebih mendalam mengenai kepentingan pelibatan ibu bapa, komuniti serta sektor swasta dalam menyokong agenda pendidikan negara.
Pengalaman itu menjadi asas kepada usaha memperkukuh peranan PIBKS sebagai penghubung antara pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus memastikan setiap inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan melalui kerjasama dan permuafakatan.
Beliau berharap pengiktirafan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga PIBKS untuk terus meningkatkan komitmen, memperluas jaringan kerjasama dan melaksanakan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada murid.
“Pendidikan bukanlah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah atau pihak sekolah semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“Tiada anak yang harus dipinggirkan, tiada anak yang harus tercicir dan setiap anak berhak mendapat peluang untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pelantikan Focal Person oleh KPM turut membantu memperkukuh sistem pendidikan negeri menerusi peranan mereka sebagai penghubung antara pihak sekolah dengan komuniti.
Menurutnya, pendekatan turun padang yang dilaksanakan membantu mengenal pasti pelbagai isu di lapangan, sekali gus membolehkan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan murid tidak tercicir daripada sistem pendidikan.
Beliau berkata, keberkesanan pendekatan itu antaranya dapat dilihat menerusi pengurangan jumlah calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
“Pada 2024, jumlah calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan adalah sekitar 900 orang, namun pada 2025 jumlah itu berkurangan kepada 669 orang.
“Ini antara contoh keberkesanan peranan Focal Person dalam membantu pihak sekolah menangani masalah yang dihadapi anak-anak murid, termasuk isu berkaitan keluarga,” katanya.
Raisin berkata, Focal Person juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan dan memperluas pemahaman masyarakat mengenai hala tuju pendidikan negeri menerusi pelaksanaan Landskap Baharu Pendidikan Sabah.
Katanya, mereka sentiasa membantu menyebarluaskan hala tuju berkenaan, khususnya kepada rakan-rakan Focal Person dan masyarakat, supaya semua pihak memahami matlamat serta aspirasi yang ingin dicapai JPNS.
Jelasnya, sokongan dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan agenda meningkatkan pencapaian pendidikan Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.



