KOTA KINABALU: Seramai 22 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi peluang mengasah kemahiran sebagai agen perubahan masyarakat menerusi pelaksanaan program pendidikan STEM inklusif bersama Murid Berkeperluan Khas (MBK).
Inisiatif menerusi program 2ndPAPER Sustainability Education Through Eco-Pots Making and Agricultural Initiatives (SEMAI) itu dilaksanakan pelajar Tahun Tiga Kursus FD31303 Transformasi Pelancongan, Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), UMS di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran, Putatan (SKPKT).
Penyelaras kursus, Ts. Dr. Rosmalina Abdul Rashid berkata, program itu membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh di bilik kuliah menerusi aktiviti pembangunan komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasaran.
Katanya, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan turut membantu pelajar membina kemahiran insaniah, kreativiti dan keupayaan menyampaikan ilmu kepada masyarakat, khususnya golongan yang mempunyai keperluan pembelajaran berbeza.

Menurutnya, program itu turut membuka ruang kepada MBK untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti yang menyeronokkan, praktikal serta mudah difahami.
“Program ini turut mencerminkan usaha memperluas akses pendidikan STEM kepada semua lapisan masyarakat, termasuk murid yang mempunyai keperluan pembelajaran berbeza,” katanya.
SEMAI dilaksanakan menerusi tiga modul utama yang menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar, kreativiti dan pertanian.
Modul pertama, SEMAI Kreatif yang berlangsung pada 12 Oktober lalu, membabitkan 70 MBK bersama tiga guru dalam aktiviti menghasilkan pasu mesra alam (eco-pots) menggunakan kertas kitar semula.
Modul kedua, SEMAI Harapan yang dilaksanakan pada 19 Oktober lalu dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Putatan, memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik penyemaian biji benih menggunakan pasu yang dihasilkan dalam modul pertama.

Dua pegawai pertanian turut membimbing peserta mengenai medium tanaman dan kaedah penyemaian sebelum mereka menjalankan aktiviti menanam biji benih kangkung dan sawi.
Program diteruskan menerusi modul ketiga, SEMAI yang memberi tumpuan kepada pemantauan perkembangan tanaman serta penilaian hasil pembelajaran peserta.
Rosmalina berkata, pihaknya berharap program itu dapat meningkatkan minat MBK terhadap bidang STEM, selain memupuk nilai tanggungjawab, keyakinan diri dan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar sejak usia muda.
“Walaupun dilaksanakan dalam skala kecil, program ini membuktikan bahawa pendidikan STEM boleh disampaikan secara berkesan kepada semua murid melalui pendekatan kreatif, inklusif dan dekat dengan kehidupan seharian,” katanya.
Program berkenaan turut terpilih sebagai antara inisiatif di bawah siri program STI100³ tahun 2026 anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).



