KOTA KINABALU: Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bukan sekadar platform kerjasama ekonomi, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat di rantau ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama serantau bukan sahaja berkembang menerusi perkongsian ekonomi, malah turut diperkukuh melalui hubungan erat antara masyarakat.
“Kerjasama serantau bukan sahaja berkembang menerusi perkongsian ekonomi, tetapi juga melalui hubungan erat antara masyarakat apabila kita bertemu sebagai jiran, berkongsi pengalaman serta memperdalam penghargaan terhadap budaya dan komuniti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian Sukan Persahabatan BIMP-EAGA 2026 Ke-12 di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah mengalu-alukan kehadiran kontinjen dari Brunei Darussalam, Malaysia dan Filipina yang menyertai temasya berkenaan.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal kerana rakan dari Indonesia tidak dapat menyertai temasya sukan itu kali ini.
“Walaupun kita amat kesal kerana rakan-rakan dari Indonesia tidak dapat menyertai temasya sukan kali ini, mereka tetap merupakan sebahagian penting daripada keluarga besar BIMP-EAGA.
“Kita mengirimkan salam mesra kepada mereka dan berharap dapat mengalu-alukan penyertaan mereka pada pertemuan akan datang,” katanya.

Menurutnya, penyertaan kontinjen dalam temasya itu bukan sekadar untuk merebut kemenangan dan pingat, tetapi turut menjadi peluang mengeratkan hubungan serta menjalin persahabatan merentasi sempadan.
Katanya, semangat muhibah, setiakawan dan saling menghormati merupakan elemen penting yang menjadikan temasya berkenaan lebih bermakna, selain persaingan dalam kalangan atlet.
“Di gelanggang pertandingan, para atlet saling mencabar untuk mempamerkan prestasi terbaik. Di luar pertandingan pula, mereka berkongsi cerita, mencari persamaan dan menjalin persahabatan merentasi sempadan.
“Melalui pertemuan ini, sukan memperkukuh hubungan antara masyarakat kita serta memupuk semangat kekitaan yang lebih mendalam dalam kalangan penduduk di rantau ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua atlet supaya bersaing dengan penuh semangat dan kebanggaan, di samping sentiasa menjunjung tinggi nilai kesukanan.
“Ketika berusaha mencapai kecemerlangan, ingatlah bahawa pesaing anda juga merupakan jiran dan sahabat anda.
“Jabat tangan selepas perlawanan sengit, kata-kata semangat atau gelak tawa yang dikongsi bersama boleh membawa makna yang sama besarnya dengan kejayaan menaiki podium,” katanya.
Hajiji berharap setiap peserta pulang bukan sahaja dengan pencapaian sukan, tetapi juga kenangan indah serta persahabatan yang berkekalan.
Beliau turut mengajak semua kontinjen menjadikan temasya itu sebagai wadah meraikan persahabatan dengan semangat persaingan sihat, saling menghormati dan memperkukuh hubungan antara masyarakat di rantau BIMP-EAGA.
“Semoga ikatan persahabatan yang terjalin di sini terus berkekalan walaupun selepas wisel penamat dibunyikan,” katanya.



