HomeUtamaEmpat aspek kepimpinan transformasi koperasi digariskan

Empat aspek kepimpinan transformasi koperasi digariskan

Read Time:2 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Pengukuhan tata kelola, pendigitalan, kepelbagaian sumber pendapatan dan kerjasama antara agensi merupakan empat aspek utama bagi memperkasa kepimpinan koperasi agar terus berdaya saing.

Mohamad Alamin semasa berucap pada program itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi perlu mengamalkan pengurusan profesional, memanfaatkan teknologi serta meneroka peluang perniagaan baharu bagi memastikan sektor itu terus berkembang.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program CEO Talk bertajuk “Berani Berubah, Berani Maju: Resepi Kepimpinan Transformasi Koperasi” anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Beliau berkata, keutamaan pertama ialah memperkukuh tata kelola, pengurusan risiko dan profesionalisme kewangan bagi meningkatkan keyakinan anggota serta institusi kewangan terhadap koperasi.

Dalam aspek pembangunan kepimpinan, beliau turut menyambut baik pencapaian IKMa sempena Jubli Platinum 70 tahun yang merekodkan kira-kira 944,505 peserta menerusi 15,674 program latihan dan bimbingan.

Penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) pula menjadi platform melahirkan pelapis pengurusan koperasi yang berkelayakan.

Manakala resepi kedua ialah mempercepat transformasi digital, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan penglibatan golongan muda dalam kepimpinan koperasi. Usaha itu turut dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), IKMa dan ANGKASA.

Bagi resepi ketiga, koperasi digalakkan mempelbagaikan pendapatan, memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan peruncitan.

Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah pembelian pukal secara konsortium atau federasi serta program perladangan kontrak, seperti yang dilaksanakan Koperasi Pekebun Kecil Daerah Batu Pahat Berhad.

Resepi keempat pula menekankan sinergi antara agensi dalam ekosistem Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mengelakkan pertindihan usaha dan memudahkan koperasi mendapatkan sokongan.

Pendekatan itu dipacu menerusi Komitmen A-B-C-D yang merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran. Koperasi turut digalakkan memanfaatkan portal Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM 2026) untuk mendapatkan maklumat kemudahan kementerian.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, gerakan koperasi negara mencatatkan 16,468 koperasi berdaftar dengan 7.3 juta anggota, aset keseluruhan RM186.75 bilion dan perolehan tahunan RM81.62 bilion.

Katanya, jumlah perolehan itu melepasi sasaran RM60 bilion bagi 2025 dan RM73 bilion menjelang 2030 di bawah Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030).

Di Sabah, Mohamad berkata, sebanyak 2,047 koperasi dengan 389,000 anggota direkodkan setakat 31 Disember 2025, berbanding 1,994 koperasi dan 375,559 anggota pada tahun sebelumnya. Perolehan koperasi negeri itu turut meningkat daripada RM774.45 juta pada 2024 kepada RM913.33 juta pada 2025, dengan aset terkumpul melebihi RM1.2 bilion.

“Antara koperasi berprestasi tinggi di Sabah ialah Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (KOPSODIK), Koperasi Pelancongan Mukim Batu Putih Kinabatangan Berhad (KOPEL), Koperasi Kraf Batu Lunguyan Sook Berhad dan Koperasi Pembangunan Tanah Sungei Kelayak Berhad di Sandakan,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan faktor geografi bukan penghalang kepada kemajuan koperasi, sebaliknya kepimpinan inovatif dan keberanian meneroka peluang baharu mampu membuka ruang pertumbuhan.

“Pada peringkat antarabangsa, gerakan koperasi Malaysia turut mendapat pengiktirafan apabila Presiden ANGKASA dipilih menganggotai Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pengamal media terus mengetengahkan kejayaan koperasi sebagai inspirasi kepada masyarakat.

Program berkenaan disertai lebih 100 peserta terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi, pengurus, kakitangan koperasi, pegawai agensi penyelia dan usahawan.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Sabah Youth Jobseekers Face Skills Mismatch, UMS Student Survey Suggests

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular