KOTA KINABALU: Persatuan Tarian Naga dan Singa Xuan Long Sabah menerima sumbangan RM10,000 daripada Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut, bagi membantu pembelian peralatan tarian singa.
Sumbangan itu diserahkan Victor kepada wakil persatuan yang diketuai jurulatihnya, Allen Yong Chun Wei, dalam satu kunjungan pada petang Selasa.
Allen berkata, sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli peralatan termasuk gendang, gong, simbal (cha), simbal besar, bendera lori serta kain hiasan gendang bagi meningkatkan kualiti latihan dan persembahan pasukan.
Persatuan Xuan Long Sabah yang aktif dalam seni persembahan tarian singa turut memainkan peranan memelihara warisan budaya masyarakat Cina, selain mendidik generasi muda mengenai nilai kerja berpasukan, disiplin dan keberanian.
Victor yang juga Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan berkata, sumbangan itu selaras dengan komitmennya menerusi moto ‘Berbudi Kepada Rakyat’ dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang budaya.
Pada kunjungan itu, pihak persatuan turut menyampaikan cenderahati kepada Victor sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan keprihatinan beliau terhadap persatuan.



