KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan peningkatan keluasan kawasan tanaman koko negara kepada 10,000 hektar menjelang 2030 menerusi pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pengeluaran biji koko tempatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sasaran itu dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030), termasuk Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan serta Program Peluasan Tanaman Koko dan Hasil Koko.
Menurutnya, sehingga September lalu, jumlah keseluruhan kawasan bertanam koko di negara ini mencapai 6,939 hektar, termasuk pencapaian tanaman baharu yang melebihi 400 hektar.
Beliau berkata, kementeriannya melalui Lembaga Koko Malaysia komited memperluaskan kawasan tanaman koko secara berperingkat dengan menggalakkan lebih banyak pembabitan sektor perladangan.
“Melalui program berkenaan, kementerian komited meningkatkan keluasan kawasan tanaman koko negara kepada 10,000 hektar menjelang 2030,” katanya.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Noraini berkata, selain peluasan kawasan tanaman, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kebun koko sedia ada bagi meningkatkan produktiviti sektor berkenaan.
Katanya, usaha pemulihan itu membabitkan kawasan seluas 2,126 hektar, manakala 3,295 pekebun kecil turut menerima bantuan input pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
Menurutnya, peningkatan produktiviti turut diberi perhatian menerusi penyelidikan dan penggunaan teknologi pertanian moden, termasuk pengurusan nutrien secara sistematik serta kaedah kawalan penyakit dan perosak yang lebih berkesan.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bukan sahaja untuk meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan, malah mengurangkan kos operasi dan memperkukuh daya saing industri koko negara.



