HomeUtamaLelaki didenda RM5,000 miliki 249 liter diesel tanpa lesen

Lelaki didenda RM5,000 miliki 249 liter diesel tanpa lesen

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana memiliki 249 liter diesel tanpa lesen.

Hakim Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Aaron Yii, 32, selepas dia mengaku bersalah memiliki barang kawalan berkenaan yang disimpan dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter di dalam sebuah kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Panglima Banting, Minintod, Penampang, pada jam 11.55 malam, 10 April tahun ini.

Mengikut pertuduhan, Yii memiliki barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual itu dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa suatu kesalahan akan dilakukan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurus niaga secara runcit atau borong tanpa lesen.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel berjumlah RM1,207.65 serta kenderaan yang terbabit dilucut hak kepada kerajaan.

Yii yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum atas alasan itu kesalahan pertamanya dan dia hanya membawa wang RM4,000 ke mahkamah.

Dia turut memaklumkan bahawa dirinya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara dua anak yang masih bersekolah.

Pegawai Pendakwa Gunasegaran Krishnan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta menjadi pencegahan kepada masyarakat.

Gunasegaran berhujah bahawa kesalahan itu serius kerana membabitkan penyelewengan bahan api bersubsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia yang memerlukan, bukannya untuk keuntungan peribadi pihak yang menyalahgunakannya dengan menjual semula pada harga lebih tinggi.

Katanya, konflik yang berterusan di Timur Tengah turut menyebabkan kenaikan harga minyak dunia, sekali gus meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi meneruskan pemberian subsidi bahan api kepada rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

SKPK Kota Kinabalu raih tujuh pencapaian di Karnival Kokurikulum Zon Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular