SHAH ALAM — Sebuah syarikat penyembelihan ayam dan empat individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membekalkan 6,555 kilogram (kg) ayam yang didakwa direpresentasikan sebagai halal secara memperdayakan serta bersubahat dalam pembekalan itu.
Empat individu terbabit, Zafirah Karim, 36, Tanjena Akter Mollah, 35, Hosain Saddam, 34, dan Abdul Rahim Ariff Ali, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.
Mengikut pertuduhan, Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd, dua pengarahnya, Zafirah dan Tanjena, serta pengurusnya, Hosain, didakwa membekalkan ayam yang telah disembelih dan diproses dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan orang ramai supaya mempercayai ayam berkenaan halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.
Abdul Rahim pula berdepan pertuduhan berasingan kerana didakwa bersubahat dengan syarikat itu dalam melakukan kesalahan berkenaan.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 30 Oktober lalu di Lot 35, Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.
Mahkamah membenarkan Zafirah dan Abdul Rahim diikat jamin masing-masing sebanyak RM35,000 dengan dua penjamin.
Kedua-duanya turut diperintahkan menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Tanjena dan Hosain yang merupakan warga Bangladesh.
Mahkamah menetapkan 26 Januari depan bagi pengurusan kes.
Terdahulu, peguam Bernard Francis yang mewakili Zafirah, Tanjena dan Hosain memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan berkenaan atas alasan kandungannya kabur.
Timbalan Pendakwa Raya, Sophian Zakaria, berkata pihak pembelaan boleh memfailkan bantahan awal mereka kemudian.
Norhashimah Hashim turut hadir mewakili pihak pendakwaan, manakala Abdul Rahim tidak diwakili peguam.



