Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah bersedia untuk menyediakan biasiswa khas kepada anak negeri yang layak melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai usaha jangka panjang melahirkan lebih ramai doktor tempatan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, inisiatif itu merupakan antara langkah yang akan diberi perhatian kerajaan bagi menangani isu kekurangan doktor di Sabah.
Katanya, usaha melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan anak Sabah dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang berikutan kekangan mendapatkan doktor dari Semenanjung untuk berkhidmat di negeri ini.
“Jadi, bagi saya, satu-satunya penyelesaian jangka panjang ialah memastikan lebih ramai doktor anak Sabah dilahirkan.
“Untuk mencapai matlamat itu, kita akan memastikan setiap anak Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) layak dipertimbangkan untuk menerima biasiswa khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan kepada institusi agama bukan Islam serta sekolah mubaligh, sekolah Cina dan sekolah persendirian di sini, pada Selasa.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan pendidikan dijangka menjadi antara komponen terbesar dalam Belanjawan Sabah tahun ini dan tahun depan, meskipun bidang pendidikan bukan sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tetap memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemajuan pendidikan di Sabah melalui pelbagai inisiatif dan bantuan.
Menurutnya, isu kekurangan doktor di negeri ini turut dibincangkan secara mendalam oleh Kabinet negeri, khususnya berhubung keperluan memastikan bekalan tenaga perubatan mencukupi untuk ditempatkan di Sabah.
Beliau berkata, usaha menyediakan biasiswa khas kepada pelajar perubatan anak Sabah itu diharap dapat membantu membina kumpulan doktor tempatan yang mampu menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan negeri pada masa hadapan. – SABAH MEDIA



