KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Kota Kinabalu mengharumkan nama Sabah apabila meraih tujuh pencapaian dalam tiga pertandingan pada Karnival Kokurikulum Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas Zon Borneo di Miri, Sarawak.
SKPK Kota Kinabalu merupakan satu-satunya sekolah mewakili Sabah pada karnival anjuran SK Pendidikan Khas Miri yang berlangsung dari 19 hingga 21 November lalu.
Kontinjen sekolah diketuai Guru Besar, Muhammad Hamka Eallie, dengan penyertaan murid dalam pertandingan Tarian Kolattam, petanque dan Spelling Bee.
Muhammad Hamka berkata, beliau bangga melihat murid-murid membawa nama Sabah sebagai wakil tunggal negeri.
“Tahniah atas kejayaan dalam tarian, petanque dan Spelling Bee. Terima kasih kepada guru yang membimbing dan mengiringi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan Warisan Seni SKPK Kota Kinabalu muncul johan Pertandingan Tarian Kolattam kategori sekolah rendah pendidikan khas menerusi acara Semarak Seni 6, selain meraih tiga anugerah khas iaitu Kumpulan Popular, Busana Terbaik dan Koreografi Terbaik.
‘Tampil dengan busana jingga dan biru, video promosi pasukan itu turut mencatatkan 13,000 tontonan di halaman Facebook SK Pendidikan Khas Miri.
“Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada warga SKPK Kota Kinabalu, masyarakat Sabah serta semua pihak yang menonton, berkongsi video dan memberikan sokongan sehingga pasukan itu meraih Anugerah Kumpulan Popular,” katanya.
Pasukan Warisan Seni dianggotai enam murid berkeperluan pendidikan khas kategori ketidakupayaan pendengaran, iaitu Yana Batisyah Ayub, Aby Ardelle Ann Sipin, Margaret Darlane anak Constans, Brevyn Roydenn Rommie Stephen, Johanes Geoffrey Herman dan Muhammad Fauzan Naufal bin Abdul Fauzi.
Pasukan itu diuruskan Syahfiqah Mohd Daud, guru Kelab Kebudayaan dan Kesenian SKPK Kota Kinabalu, serta dilatih Shahzelawatul Husni Shahmat, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah. Arinih Yusof, kakitangan SKPK Kota Kinabalu, turut menyumbang dalam penghasilan busana tarian pasukan.
Dalam pertandingan petanque, pasukan sekolah meraih tempat ketiga bersama dalam kategori Triple Campuran Murid, manakala Brevyn Roydenn Rommie Stephen turut menerima anugerah Most Valuable Player (MVP).
Bagi acara English Carnival pula, Russell Kendrick Kelvin muncul naib johan Pertandingan Spelling Bee.
Pasukan petanque dibimbing Mohd Khairullah Jenula, manakala peserta Spelling Bee dilatih Syed Mohd Farhan Syed Roseli. Siti Farhana Kawid turut bersama kontinjen sebagai guru pengiring.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Hamka turut merakamkan penghargaan kepada Penolong Kanan Kokurikulum, Mastura Jaafar, Yang Dipertua PIBG SKPK Kota Kinabalu, Mohd Rafie Abdul Rahman serta seluruh warga PIBG atas sokongan dan sumbangan dalam menjayakan penyertaan murid.
“Terima kasih kepada SK Pendidikan Khas Miri atas kelancaran penganjuran karnival yang memberi peluang kepada murid berkeperluan pendidikan khas mengasah bakat dalam bidang seni, sukan dan bahasa, membina keyakinan serta membawa nama sekolah dan negeri ke peringkat Zon Borneo,” ujarnya.



