HomeUtamaOp Salju: Lapan pusat penyembelihan haram diserbu di lima negeri

Op Salju: Lapan pusat penyembelihan haram diserbu di lima negeri

Read Time:1 Minute, 34 Second

KUALA LUMPUR: Lapan pusat penyembelihan haram di lima negeri diserbu menerusi Op Salju 1/2026 selepas disyaki menggunakan kaedah penyembelihan yang tidak mematuhi syarak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kegiatan itu dikesan menerusi operasi bersepadu di seluruh negara dari 9 hingga 22 November lalu.

“Premis-premis ini dikesan melakukan penyembelihan yang tidak betul dan diragui, iaitu disyaki menggunakan kaedah renjatan elektrik sebelum disembelih.

Terdapat juga situasi di mana kepala ayam ditarik dan terus dipotong tanpa melalui proses sembelihan sebenar,” katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam.

Beliau berkata tiga premis dikesan di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu di Pahang, Sabah serta Perak.

Empat premis yang dimiliki individu bukan Islam terletak di Chini, Pahang, Muar, Johor, Jalan Meru, Klang, Selangor dan Teluk Intan, Perak. Empat lagi premis milik individu beragama Islam beroperasi di Kajang dan Klang, Selangor, Sandakan, Sabah serta Pekan Nenas, Johor.

Menurut Mohd Yusri, hasil risikan mendapati premis terbabit telah beroperasi antara dua bulan hingga empat tahun, dengan anggaran keuntungan antara RM1,500 hingga RM10,000 sehari bagi setiap premis.

Serbuan di lapan pusat penyembelihan itu membawa kepada penahanan 55 pekerja dan rampasan barangan bernilai RM2.4 juta.

Secara keseluruhan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama sembilan agensi penguat kuasa lain memeriksa 68 premis di 13 negeri, termasuk pasar raya, kilang, stor dan pusat penyembelihan.

Operasi yang melibatkan 745 anggota daripada pelbagai agensi itu merampas produk sejuk beku, makanan, bahan mentah dan kenderaan dengan nilai keseluruhan RM32.5 juta.

Seramai 96 individu berusia antara 14 hingga 73 tahun turut ditahan sepanjang operasi itu, membabitkan 41 warga tempatan dan 55 warga asing.

Mohd Yusri berkata tindakan bersepadu itu penting untuk membanteras pengedaran makanan secara haram, menghentikan kegiatan penyembelihan yang menyalahi syarak dan memulihkan keyakinan umat Islam terhadap kebersihan, keselamatan serta status halal bekalan makanan di negara ini.

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didenda RM5,000 miliki 249 liter diesel tanpa lesen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular