PUTATAN: Sidang Parlimen yang bermula September dan Oktober depan memberi masa dan ruang yang cukup kepada semua Ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dua sidang itu turut memberi peluang untuk Ahli Parlimen menyuarakan pandangan mengenai pelbagai perkara dan membahaskan rang undang-undang yang dibentangkan kerajaan.
“Memandangkan tiada sesi perbahasan dilaksanakan ketika sidang khas Parlimen, maka dua sidang pada September dan Oktober itu nanti akan menjadi ruang untuk Ahli Parlimen berbahas.
“Persidangan khas Parlimen yang dijadualkan bermula 26 Julai ini akan berlangsung sehingga 2 Ogos depan adalah tertakluk kepada peraturan dan urusan mesyuarat yang ditentukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati kerana sidang khas Parlimen pada akhir bulan ini tiada sesi perbahasan.
Ronald berkata, semua yang dibuat oleh kerajaan diputus berasaskan peraturan mesyuarat dan sidang kali ini juga adalah sidang khas yang dipanggil Perdana Menteri selain tertakluk kepada peraturan mesyuarat dan urusan mesyuarat yang ditentukan Perdana Menteri.
“Perdana Menteri kata sidang khas itu adalah untuk bincang perkara berkaitan pengurusan COVID-19 tetapi telah dijadualkan dua sidang akan menyusul selepas itu.
“Kedua-dua sidang itu adalah untuk memberi ruang kepada setiap Ahli Parlimen menyuarakan apa juga pandangan kepada kerajaan dan membahasakan rang undang-undang yang akan dibentang oleh kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Ronald mengadakan tinjauan ke Jeti dan Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, di sini, pagi tadi.