HomeUtamaKaedah 'Walk-In' Perlu Dilaksana Di Sabah, Masih Ramai Golongan Tercicir Termasuk Warga...

Kaedah ‘Walk-In’ Perlu Dilaksana Di Sabah, Masih Ramai Golongan Tercicir Termasuk Warga Emas

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU : Inisiatif pemberian vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ perlu dilaksanakan segera di beberapa buah negeri lain khususnya di Sabah yang kini masih terendah dalam peratus jumlah penerimaan vaksin.

Ketua Puteri UMNO Sabah Fadilah Sarbi berkata, kaedah itu tidak seharusnya menumpukan kepada Selangor dan Kuala Lumpur sahaja namun perlu dilaksanakan secara adil.

“Saya difahamkan penduduk di dua negeri itu boleh mendapatkan vaksin secara terus dengan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 1 Ogos depan terutama kepada golongan tercicir dan yang belum mendapat janji temu vaksinasi.

“Kaedah ‘walk-in’ itu juga perlu dilaksanakan di Sabah kerana di negeri ini masih ramai yang tercicir terutama yang mendaftar sejak Februari lalu sehingga kini masih belum menerima janji temu termasuklah warga emas belum keseluruhan menerima,” katanya ketika dihubungi Sabah Media disini hari ini.

Fadila yang juga Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemberian vaksin menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga perlu mengutamakan warga negara Malaysia dahulu berbanding bukan warga negara.

“Kerajaan perlu mengutamakan pemberian vaksin kepada warganegara dahulu selain kepada warga emas khususnya di Sabah yang dilihat masih ramai lagi yang belum menerima vaksin termasuk janji temu vaksinasi.

“Selain itu, saya juga mahu penghantaran dos vaksin yang dijanjikan sebelum ini dihantar segera bagi memastikan imuniti kelompok rakyat Sabah dapat dicapai dengan lebih cepat,” katanya.

Sementara itu, Fadila berkata, kerajaan pusat tidak wajar melihat kepada jumlah bekalan vaksin menerusi pendaftaran MySejahtera sahaja namun ia perlu melihat kepada faktor lain termasuk faktor geografi dan masalah komunikasi khususnya di luar bandar yang menyukarkan penduduk membuat pendaftran secara atas talian.

“Sabah kini giat melaksanakan program jangkauan luar ataupun ‘Outreach’ ke kawasan luar bandar bagi melaksanakan vaksinasi kepada penduduk di pedalaman. 

“Ini bukan alasan untuk kerajaan pusat melewatkan penghantaran bekalan termasuk menghadkan jumlah dos vaksin berdasarkan MySejahtera,” katanya.

Tambahnya, rakyat Sabah juga mahu pemberian vaksin perlu dilaksanakan sama rata seperti negeri dan perlu melihat kepada kebajikan dan kesihatan rakyat negeri ini sewajarnya.

Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) setakat 17 Julai lalu, hanya 12.2 peratus atau 475,084 orang yang sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Sabah.

Negeri ini ketinggalan di belakang Kelantan yang setakat ini merekodkan 16.2 peratus populasi penduduk sudah menerima dos pertama vaksin, disusuli Johor (17.4 peratus) dan Kedah (18.5 peratus).

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular