RANAU: Meskipun negara masih lagi dilanda pandemik COVID-19, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, keadaan itu tidak menjadi penghalang bagi seorang remaja lelaki, Joevier Jamesron, 17, mengisi masa lapang membantu ibubapanya berkebun menanam buah-buahan.
Joevier pelajar tingkatan 5, di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh di sini, amat meminati bidang pertanian dan menimba ilmu dari datuknya di kampung membantu mengerjakan kebun buah-buahan dan ladang kelapa sawit yang terletak di daerah Telupid apabila musim cuti sekolah.
Katanya, dia mempunyai semangat tinggi membantu kedua ibubapa mengusahakan bidang pertanian tanpa mengabaikan pelajaran sekolahnya dan ia terbukti apabila sering mendapat gelaran ‘Pelajar Cemerlang’ di peringkat sekolah atas pencapaian kepujian cemerlang dalam semua matapelajaran yang diambilnya.
Sepanjang pelaksanaan PKP, Joevier menanam nenas di kawasan tanah milik ibunya , dia berpuas hati hasil tanaman nenasnya mengeluarkan buah bersaiz besar dan rasanya manis, yang kemudian dijual di pasar pekan Telupid.
Selain kecemerlangan dalam bidang Kurikulum dan Kokurikulum di sekolahnya, anak pertama daripada dua beradik itu juga berminat dan pandai bermain alat muzik seperti Piano, Ukulele dan Gitar.
Atas sebab kemahiran bermain alat muzik itu, Joevier sering diundang untuk mengiringi persembahan koir atau lagu-lagu rohani di Gereja SDA Batu 2 Ranau.
Ibu Joevier, Airine Abidin, 41, pula cukup membimbing dan mengambil perhatian terhadap perkembangan pembelajaran kedua-dua anaknya, dengan memastikan sentiasa mengulangkaji pelajaran sekolah semasa berada di rumah dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika pelaksanaan PKP ini.
” Saya tidak menghalang anak saya Joevier meminati bidang pertanian kerana bidang pertanian juga satu perniagaan yang boleh menjana pendapatan yang lumayan,” jelas Airine yang bertugas sebagai seorang Jururawat di salah sebuah klinik swasta di pekan Ranau.