Pemberian Vaksin Dos Tunggal Mampu Tingkat Kadar Imunisasi Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

TANJUNG MALIM: Pemberian vaksin dos tunggal jenis CanSino kepada negeri Sabah diyakini mampu meningkatkan kadar imunisasi dan peratus pemberian vaksin dikalangan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia juga mampu membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang giat dilaksanakan diseluruh negara.

“Kita mengalu-alukan pengumuman daripada Kerajaan Persekutuan dimana Sabah akan diberi keutamaan untuk mendapat bekalan vaksin jenis CanSino. Satu kelebihan vaksin CanSino ini berbanding dengan lain adalah ia hanya memerlukan satu dos sahaja.

“Kita melihat antara cabaran utama yang dihadapi sebelum ini adalah mengenai kos logistik serta perhubungan yang menyebabkan kadar pendaftaran vaksinasi di Sabah antara yang terendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disini pagi tadi.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, pembekalan vaksin CanSino itu bersesuaian dengan keadaan demografi negeri Sabah.

Katanya, ia juga dijangka akan membantu mengurangkan kos serta cabaran logistik yang dihadapi terutamanya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung terpencil.

“Dengan penggunaan vaksin ini beban tugas yang digalas oleh petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Sabah khususnya bagi kawasan pedalaman akan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

“Antaranya kekerapan perjalanan yang diperlukan ke sesebuah kawasan bagi memberikan suntikan vaksin,” katanya.

Justeru itu katanya, penggunaan vaksin CanSino ini akan dapat meningkatkan kadar imunisasi di Negeri Sabah disamping mempercepatkan imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Terdahulu sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras PICK memberi jaminan Sabah akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin dos tunggal jenis CanSino.

Khairy memberi jaminan itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu pertemuan secara maya baru-baru ini di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

“Kami akan membuat penghantaran pertama untuk Sabah dan juga kami akan memberitahu dan memberi pilihan kepada Sabah mengenai Johnson & Johnson (vaksin satu dos),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *