HomeUtamaMujahadah Melawan Covid-19 Dijadikan Intipati Hijrah - Arifin

Mujahadah Melawan Covid-19 Dijadikan Intipati Hijrah – Arifin

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU:  Umat Islam perlu menjadikan mujahadah melawan pandemik Covid-19 sebagai intipati hijrah pada tahun ini.

Menurut Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, konsep mujahadah tersebut merujuk kepada kesungguhan umat mempertahan dan melawan wabak itu dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Saya mengharapkan agar hijrah tahun ini, kita dapat bersama-sama mendukung usaha kerajaan dalam melandaikan lekuk Covid-19 dengan mujahadah dan semangat kita.

“Mujahadah dalam hijrah ini perlu kita terjemahkan dalam menghadapi wabak Covid-19, iaitu kesungguhan kita mematuhi segala SOP agar kita selamat dan cepat pulih dari wabak ini.

“Mujahadah merujuk kepada usaha yang berterusan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat agar kita seboleh-bolehnya mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Berucap pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Dewan Saadah, Wisma Muis, hari ini, Arifin mengingatkan umat Islam agar sentiasa mendalami Al Quran, di samping berbakti kepada keluarga, sahabat dan masyarakat dalam memenuhi tuntutan hijrah.

Sambutan tahun baharu Islam yang bertemakan “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” itu diadakan secara hybrid dan disiarkan secara langsung melalui pautan media sosial Jheains, turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Muis, Malai Ali Malai Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Ramlan Awang Ali serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Datuk Saifulzaman Sangul.

Selain perutusan daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang disampaikan secara maya, majlis juga menyaksikan video sidang antara Hajiji dengan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1443H, Tan Sri Ampong Puyon yang disiarkan secara langsung melalui pautan media sosial Jheains. – PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya