HomeUtamaTan Sri Ampong Puyon Tokoh Maal Hijrah Sabah

Tan Sri Ampong Puyon Tokoh Maal Hijrah Sabah

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Penerima Anugerah Tokoh 1Malaysia sempena Perayaan Hari Malaysia 2009 Tan Sri Ampong Puyon dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri Sabah sempena sambutan Maal Hijrah 1443 peringkat negeri disini hari ini.

Anugerah disampaikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang disiarkan secara maya menerusi laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Ampong,82, menerima wang tunai RM25,000 disamping sijil penghargaan daripada kerajaan negeri Sabah.

Beliau sebelum ini bergiat aktif dalam bidang politik dengan memegang jawatan penting dalam kepartian  semenjak 1978 sehingga 2018 khususnya dalam parti USNO dan UMNO di negeri ini.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut pada tahun 1985 sehingga 1986; Ahli Parlimen Labuk-Sugut (1978-1982) dan ADUN yang dilantik pada tahun 1964 hingga 1972 dan 1999 hingga 2004.

Beliau juga turut bergiat aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), United Sabah Islamic Association (USIA) Sabah, Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS), Sabah National Youth Assoc. (SANYA), Persatuan Ibubapa dan Guru.

Selain Anugerah Tokoh 1Malaysia sempena ‘Perayaan Hari Malaysia 2009, beliau juga pernah menerima pingat penghargaan dari Kerajaan Persekutuan seperti pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) (2009) yang membawa gelaran “Tan Sri” dan Kesatria Mangku Negara (KMN) (1992).

Terdahulu, sambutan Maal Hijrah 1443 peringkat negeri Sabah itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin secara maya dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam perutusannya, Juhar berkata, sambutan yang bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ menuntut umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, tema itu turut mengajak masyarakat agar menjadi hamba Allah yang sentiasa taat melakukan segala amalan yang diperintahkan. 

“Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya bermuhasabah, bertaubat dan kembali menghayati serta mengamalkan ajaran Islam dengan sesungguhnya kerana ia merupakan kaedah dan peraturan yang diturunkan Allah SWT bagi mesejahterakan kehidupan ummah di dunia dan akhirat.

“Tahun baharu hijrah yang menjelang ini,  kita warnai dengan keazaman untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang dengan melakukan segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang ditegah-Nya.

“Ini penting untuk kita jadikan tekad serta azam dan menginsafi bahawa kelalaian manusia untuk tunduk kepada ajaran agama merupakan antara sebab-munasabah berlakunya bencana bersilih ganti sejak akhir-akhir ini sebagai peringatan dan pengajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah secara maya kepada Tan Sri Ampong Puyon, 82 yang dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1443H  tahun ini.

Kerajaan negeri turut merakamkan terima kasih atas sumbangan Ampong dalam kemajuan dan kemakmuran negeri ini, khususnya dalam pembangunan modal insan serta syiar Islam, di samping khidmat bakti dalam aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya