HomeUtamaDua kes keracunan Babit Penggunaan Ivermectin - KKM

Dua kes keracunan Babit Penggunaan Ivermectin – KKM

Read Time:1 Minute, 25 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Pusat Racun Negara menerima dua kes keracunan membabitkan penggunaan ubat Ivermectin di negara ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan kedua-dua kes itu membabitkan individu berusia 35 tahun dan seorang warga emas.

“Kes pertama melibatkan pengguna yang mengambil satu biji Ivermectin. Akibatnya, pengguna itu mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan manakala bagi kes kedua melibatkan seorang warga emas yang didapati tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekali gus,” menurut kenyataan itu, hari ini.

KKM memberitahu Ivermectin didapati dijual secara tidak sah dan setakat ini ia belum diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Menurut kementerian itu pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan serta kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening.

“Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru dan kematian. Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” menurut kementerian itu.

Pada 5 Jun lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham  Abdullah dilapor berkata KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Dr Noor Hisham berkata Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases namun belum ada bukti yang konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat COVID-19.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh, suspek berjaya ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular