HomeIsu tempatanPersatuan Talasemia Sabah Saran Belia Lakukan Saringan Talasemia

Persatuan Talasemia Sabah Saran Belia Lakukan Saringan Talasemia

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Golongan belia disaran melakukan saringan Talasemia bagi mengetahui status mereka sama ada sebagai pembawa, pesakit atau bebas daripada penyakit genetik itu.

Presiden Persatuan Talasemia Sabah, Francis Mujim berkata, saringan awal dapat membantu dalam mengurangkan kadar pesakit Talasemia pada masa hadapan.

“Antara misi persatuan adalah Sabah sifar Talasemia Major menjelang tahun 2030 serta meningkatkan kualiti kesihatan pesakit.

“Bermula tahun 2018 hingga kini, saringan Talasemia dilakukan secara percuma bagi pelajar tingkatan empat di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Namun begitu, masih terdapat segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan saringan itu dijalankan kepada anak mereka,” katanya ketika dihubungi media selepas program Webinar Memerdekakan Pejuang Talasemia, disini hari ini.

Menurutnya, webinar memfokuskan kepada penyertaan belia dengan menanamkan kesedaran serta memberikan maklumat yang tepat mengenai Talasemia.

“Di samping itu, ia juga memberi info baharu kepada pejuang Talasemia agar tidak berputus asa dengan ujian yang dihadapi.

“Kesedaran dan motivasi mampu membuka jalan kepada mereka untuk tidak berputus asa, malah terus berjuang kerana terdapat pesakit yang juga berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Seramai 1,900 peserta menghadiri webinar itu yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima dari beberapa buah sekolah sekitar daerah Tawau, Sandakan, Ranau, Kudat, Kota Kinabalu, Papar serta Penampang dan 100 daripadanya merupakan pesakit Talasemia.

Tambah beliau, webinar itu adalah antara program yang diadakan sempena Sambutan Hari Talasemia Sedunia 2021 peringkat negeri Sabah dan antara program lain yang bakal berlangsung ialah kempen derma darah di Telupid pada 30 dan 31 Ogos, pertandingan melukis poster kanak-kanak sekolah, pertandingan membuat video pendek dan pertandingan membuat kek dan bun bagi pejuang Talasemia.

Webinar tersebut merupakan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persatuan Genetik Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, dengan penaja utama Syarikat Repsol Oil dan Gas Malaysia Limited.

Turut menghadiri webinar itu ialah Penasihat Perhubungan Kerajaan dan Komuniti Repsol Oil dan Gas Malaysia Limited, Datuk Eddie Abdullah, Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jais Asri, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah (Sektor Pembangunan Murid), Mudin Beting dan wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah./Penerangan-

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular