HomeUtamaPICK : Individu Daftar Vaksin Sejak Februari Akan Disegerakan

PICK : Individu Daftar Vaksin Sejak Februari Akan Disegerakan

Read Time:1 Minute, 47 Second

KUALA LUMPUR: Pemberian janji temu untuk vaksinasi COVID-19 kepada golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, terutama yang sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sejak Februari dan Mac lalu, akan disegerakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata golongan dewasa dalam Fasa Tiga tetap menjadi keutamaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sebelum inokulasi kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

“Tumpuan utama PICK ketika ini adalah nak pastikan pemberian vaksin COVID-19 kepada individu berusia 18 tahun ke atas berjalan lancar dan teratur supaya capai imuniti kelompok, mendahului kelompok lain.

“Keutamaan tetap kepada kelompok dewasa dalam Fasa Tiga terlebih dahulu, termasuk pelajar Tingkatan Enam dan warga sekolah seperti guru, kakitangan sokongan, operator kantin, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan.

“Sasaran kita capai imuniti kelompok kekal menjelang Oktober, bermakna sejumlah besar golongan dewasa akan menerima suntikan, ketika kita memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun pada pertengahan September,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan sejumlah besar individu di media sosial, yang memaklumkan mereka masih belum mendapat janji temu dan suntikan vaksin COVID-19, walaupun sudah mendaftar seawal Februari dan Mac lalu.

Rungutan itu susulan Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan langkah memperluaskan PICK kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula 15 September depan, berdasarkan pekeliling bertarikh 12 Ogos yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, kelmarin memaklumkan, pemberian vaksin kepada kumpulan remaja itu akan bermula mengikut keutamaan, iaitu kepada remaja berusia 12 dan 17 tahun yang mempunyai masalah penyakit kronik.

Katanya, ia disusuli inokulasi kepada remaja 12 hingga 17 tahun tanpa masalah perubatan dan dibuat berdasarkan penurunan umur, dan kaedah pelaksanaannya akan diumumkan minggu depan.

Terdahulu, Dr Adham memaklumkan lebih 26.8 juta dos vaksin sudah diberikan di seluruh negara, dengan 462,860 dos suntikan diberikan semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 16.7 juta individu yang merangkumi 71.4 peratus daripada 23.4 juta populasi dewasa di Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Selain itu, katanya, seramai 10.1 juta individu atau 43.3 peratus daripada jumlah keseluruhan golongan dewasa di negara ini sudah menerima suntikan lengkap vaksin berkenaan. – BH

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular