HomeUtamaPICK : Keyakinan & Kefahaman Rakyat Terhadap Penerimaan Vaksin Terus Terima Reaksi...

PICK : Keyakinan & Kefahaman Rakyat Terhadap Penerimaan Vaksin Terus Terima Reaksi Positif

Read Time:1 Minute, 23 Second

TAMPARULI: Keyakinan dan kefahaman rakyat terhadap kepentingan penerimaan vaksin COVID-19 khususnya di daerah ini dilihat terus menunjukkan peningkatan yang ketara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, sambutan penduduk terhadap program vaksinasi di daerah ini turut menerima reaksi positif selain dapat membantu mempercepatkan imuniti kelompok di Sabah.

“Saya amat gembira dan terharu dengan sambutan penduduk di Tamparuli ini dengan kehadiran mereka yang cukup menggalakkan ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV).

“Sudah tentu ini memberi kesan yang baik kepada penduduk disini dan juga rakyat di Sabah.  Sokongan dan kesedaran rakyat untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga amat dihargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Program Jangkauan Luar Vaksinasi Dos Kedua di Klinik Kesihatan Tenghilan, disini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tenghilan, Raisin Gagah, Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun, dan beberapa pemimpin masyarakat lain.

“Kita tahu bahawa selain menjaga prosedur operasi standard (SOP), satu-satunya harapan kita untuk kembali kepada tahap wabak yang terkawal adalah melalui program vaksinasi, jadi saya harap tidak ada yang melepaskan peluang ini,” katanya.

Sementara itu, seorang nenek berusia 101 tahun, yang turut hadir menjalani vaksinasi dos kedua di klinik tersebut hari ini, diharap menjadi pencetus semangat penduduk dari seluruh pelusuk daerah kecil itu untuk menerima suntikan vaksin.

“Kita jadikan nenek Kagus Longguan, yang berusia 101 tahun, sebagai contoh terbaik bahawa umur bukan penghalang untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, hasil tinjauannya mendapati, program itu diurus dengan cekap, dan pastinya membantu meningkatkan kadar vaksinasi hingga ke peringkat akar umbi.

Program tersebut hari ini, menyaksikan sebanyak 500 suntikan vaksin dos kedua diberi kepada penduduk Tenghilan dan sekitarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

FCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular