KUALA LUMPUR : Malaysia mula menerima vaksin dos tunggal COVID-19 hari ini apabila sebanyak 200,000 dos jenis CanSino tiba dari China pagi tadi.
Menerusi hantaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Twitter, kesemua 200,000 dos vaksin itu adalah berbentuk produk telah siap atau finished product.
Tambah JKJAV lagi, ianya adalah sebahagian daripada 3.5 juta vaksin CanSino yang ditempah Malaysia dan akan dihantar oleh pembekal, CanSino Biologics, China secara berperingkat.
Vaksin dos tunggal itu tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH3-6-1 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 8.43 pagi tadi.
Vaksin-vaksin berkenaan disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.
Pada 15 Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan, Malaysia telah memberikan kebenaran bersyarat terhadap dua jenis vaksin COVID-19 yang hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja.
Selain CanSino, vaksin dos tunggal yang diberi kebenaran bersyarat oleh Malaysia adalah Jansen Covid-19 keluaran Johnson and Johnson.
Dalam pada itu, difahamkan Sabah akan menjadi negeri terawal menerima vaksin dos tunggal itu selepas dimaklumkan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam satu pertemuan secara maya bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor penghujung bulan lalu. Vaksin berkenaan dijangka tiba di Sabah pada 25 Ogos ini.