HomeIsu tempatanInovasi PdP Rapat Jurang Komunikasi Pensyarah-Pelajar UMS

Inovasi PdP Rapat Jurang Komunikasi Pensyarah-Pelajar UMS

Read Time:3 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Cabaran yang dihadapi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 menyebabkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta inovasi dalam kaedah PdP atas talian.

Haslinda Hasan, Pensyarah Program Pemasaran di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS mencipta projek inovasi yang dikenali sebagai ASK 4K – Services Marketing bagi merapatkan jurang komunikasi PdP antara beliau dengan 105 orang pelajar.

“Idea itu tercetus atas kepercayaan bahawa kreativiti kaedah pembelajaran mesti dimulakan dengan penciptaan suasana yang menyenangkan, melibatkan potensi pelajar dan persekitaran serta strategi fasilitasi seiring dengan objektif pembelajaran.

“Saya namakan projek ini sebagai ASK 4K – Services Marketing, berdasarkan Model ASK– Attitudes (Sikap), Skills (Kemahiran) and Knowledge (Pengetahuan).

“4K pula adalah merujuk kepada Komunikasi, Kolaboratif, Kritis, Kreatif; manakala Services Marketing (Pemasaran Perkhidmatan) ialah nama kursus yang saya kendalikan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Menurut Haslinda, PdP ini mengaplikasikan Nerstrom Transformative Learning Model, oleh Norma Nerstrom (2014), iaitu model baharu yang diperkenalkan berdasarkan teori asal oleh Jack Mezirow.

“PdP kursus ini agak unik kerana dilaksanakan secara hibrid. Sebelum PKP, saya mengajar bersemuka di dewan kuliah. Selepas PKP 1.0 diumumkan, kedua-dua pihak iaitu saya selaku penyampai dan pelajar selaku penerima masih cuba menyesuaikan diri bagi sesi pembelajaran atas talian.

“Selain jumlah pelajar yang ramai mengakibatkan terdapat jurang komunikasi, wujud kekangan dalam menyelesaikan penilaian kursus berbentuk tugasan berkumpulan kerana pelajar tidak dapat bersemuka seperti kebiasaan.

“Namun, pendekatan melalui inovasi PdP ASK 4K ini telah mempermudahkan semua. Pembelajaran yang dibuat secara segerak dan tidak segerak melalui platform Zoom, Webex, Google Meets, Smartv3UMS dan aplikasi WhatApps dan Telegram.

“Melalui pendekatan ini, mereka dikehendaki menghasilkan video secara berkumpulan dan memperlihatkan pencapaian kognitif daripada segi pengetahuan, kefahamanan, penerapan, analisis dan penilaian terhadap kursus yang diajar,” jelasnya yang sudah berkhidmat di UMS sejak tahun 1999.

Haslinda menambah, PdP itu juga telah memberikan banyak kesan positif dalam prestasi keseluruhan pengajaran kursus tersebut.

Sebagai contoh, salah satu komponen penilaian berkumpulan kursus ini ialah pelajar perlu membuat video berdurasi 10 – 15 minit yang menggambarkan bagaimana mereka berbincang mengenai laporan bertulis kajian kes yang telah ditentukan tajuk.

“Saya meminta pelajar merujuk kepada drama Lock In arahan Erma Fatima di saluran Youtube. Hasil tugasan ini amat menarik dan yang paling penting berjaya mencapai objektif pembelajaran kursus yang ditetapkan.

“Pada masa sama, pelajar-pelajar turut merasai pengalaman yang seronok ketika menyiapkan tugasan yang mencabar. Walaupun semua dibuat secara dalam talian, mereka dapat menghasilkan kreativiti dalam menyelesaikan tugasan yang diberi dengan baik,” katanya.

Pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang Pemasaran Antarabangsa, Pemasaran Halal dan Kelakuan Pengguna itu juga menyifatkan pelaksanaan PdP tersebut berjaya memberi nilai tambah kepada pelajar daripada segi kesarjanaan berkaitan ilmu pemasaran sebenar dunia luar.

“Pembelajaran bukan sekadar pertukaran pengetahuan tetapi juga pemindahan pembelajaran yang mampu menghasilkan transformasi corak pemikiran dan corak tindakan,” ujar Haslinda.

Projek inovasi PdP ASK 4K ini telah memenangi Pingat Emas pada Pertandingan Virtual Inovasi Pengajaran & Pembelajaran 2021 anjuran Malaysia Association of Research and Education for Educators (MAsREE) & Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Daerah Hulu Langat, peringkat kebangsaan.

Inovasi tersebut turut meraih Pingat Gangsa pada National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah baru-baru ini.

“Atas pencapaian ini, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pelajar kursus Services Marketing dan semua pelajar yang pernah mengikuti kelas saya.

“Terima kasih juga kepada pihak FPEP dan UMS yang selalu menganjurkan sesi perkongsian PdP sebelum dan semasa PKP.

“Suami dan anak-anak juga selalu memberikan sokongan kepada saya setiap kali saya menyertai pertandingan. Sokongan daripada banyak pihak ini yang membuatkan saya bersemangat untuk menyertai sekurang-kurangnya satu lagi pertandingan inovasi PdP sebelum berakhir tahun 2021 ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sambutan Pesta Kaamatan daerah Tuaran bermula 4 Mei ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya