HomeSukanUMS Master Athletics raih 26 pingat dalam SAMOC 2026

UMS Master Athletics raih 26 pingat dalam SAMOC 2026

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Master Athletics berjaya membawa pulang sebanyak 26 pingat pada Kejohanan Sabah Master Athletics Open Championship (SAMOC) 2026 yang berakhir di Stadium Likas di sini pada Ahad.

Pengurus Pasukan, Prof. Madya Dr. Peter Voo berkata, pasukan yang disertai seramai 18 orang atlet termasuk beberapa atlet jemputan itu telah berjaya membina jaringan sukan yang baik antara kakitangan UMS dan komuniti atlet di sekitar Kota Kinabalu.

Beliau berkata, penyertaan sulung dalam kejohanan itu telah memberikan impak yang amat membanggakan menerusi kutipan tujuh pingat emas, 10 pingat perak dan sembilan gangsa.

“Kejayaan itu membolehkan pasukan kita berada di kedudukan ke-10 daripada 35 pasukan yang bertanding dan lebih manis apabila atlet UMS Master, Johnesius Kundong dinobatkan sebagai Atlet Terbaik SAMOC 2026 bagi Kategori M50, setelah berjaya memecahkan rekod bagi acara 100 meter dan 200 meter.

“Kejayaan ini telah mengharumkan nama UMS dan membuktikan bahawa warga UMS mampu bersaing dengan cemerlang di peringkat sukan master. 

“Pencapaian ini juga menjadi inspirasi kepada seluruh warga UMS untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat, aktif dan cergas serta mengukuhkan semangat kesukanan dalam kalangan staf universiti,” katanya.

Peter turut berharap kejayaan ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai warga UMS untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan rekreasi selain dapat melahirkan komuniti kampus yang sihat, cergas dan berdaya saing.

“Saya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua atlet, pegawai pasukan, penyokong serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan sepanjang kejohanan ini,”‘katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

KK City Fun Ride tampilkan KK sebagai destinasi pelancongan sukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular