HomeUtamaPerbicaraan rasuah dua bekas ADUN Sabah ditangguh

Perbicaraan rasuah dua bekas ADUN Sabah ditangguh

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Perbicaraan rasuah dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan memindahkan kes mereka.

Bekas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, 69, dan bekas ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, 44, yang berdepan pertuduhan berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral, dijadual memulakan perbicaraan bersama hari ini.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus membenarkan penangguhan selepas dimaklumkan bahawa notis usul (Notice of Motion) telah difailkan oleh kedua-dua tertuduh di Mahkamah Tinggi untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wardah Ishhar memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima notis usul yang difailkan oleh kedua-dua tertuduh di Mahkamah Tinggi, namun tarikh pendengaran masih belum ditetapkan.

“Kami memohon agar perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan di Mahkamah Tinggi dan satu e-review ditetapkan bagi mendapatkan perkembangan berhubung kes di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Peguam Datuk Rizwandean Bukhary M. Borhan, yang mewakili kedua-dua tertuduh, mengesahkan bahawa notis usul telah difailkan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, permohonan berkenaan telah ditetapkan di dua Mahkamah Tinggi yang berbeza dan pihak pembelaan akan memohon supaya kedua-dua kes didengar bersama.

Beliau juga memohon penangguhan perbicaraan hari ini sementara menunggu keputusan permohonan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Julai untuk e-review bagi mendapatkan perkembangan mengenai status permohonan itu di Mahkamah Tinggi.

Dr Yusof dan Andi mengaku tidak bersalah pada 30 Jun tahun lalu terhadap pertuduhan masing-masing.

Dr Yusof didakwa menerima RM200,000 daripada seorang ahli Perniagaan Albert Tei pada 6 Mac tahun lalu di Rooftop Bar & Grill, Hotel Hilton, Kota Kinabalu. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan lesen Nusa Kini Sdn Bhd.

Andi ula didakwa menerima RM150,000 daripada Albert Tei pada 12 Mei tahun lalu di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk memproses permohonan lesen penerokaan Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Tei turut didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

TPR Wardah bersama Pegawai Pendakwa Norsham Saharom bagi pihak pendakwaan.

Rizwandean bersama Datuk Ram Singh, Shahlan Jufri, Elhanan James dan Prem Elmer Ganasan mewakili Dr Yusof dan Andi. Peguam Datin Jaharah Patimbangi juga mewakili Andi.

RELATED ARTICLES
Utama

​‘You jaga ini negeri, jangan bagi orang curi!’ – Anwar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular