LABUAN : Seorang pengusaha restoran di sini dikenakan kompaun selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi barangan yang dijual di premisnya.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, kompaun dikeluarkan adalah hasil aduan awam dan pemeriksaan lanjut telah dijalankanvsepasukan anggota penguat kuasa di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati peniaga tersebut melakukan kesalahan kerana tidak mempamerkan tanda harga ke atas barangan yang ditawarkan untuk jualan, sekali gus menafikan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat harga yang jelas sebelum membuat pembelian.
“Susulan itu, tindakan kompaun serta-merta telah dikenakan ke atas peniaga berkenaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” katanya dalam kenyataan di sini.
Junaidah berkata, bagi kesalahan tersebut, Akta 723 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi individu dan sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, KPDN WP Labuan merakamkan penghargaan kepada pengguna yang tampil menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan pelanggaran perundangan di bawah seliaan KPDN.
Menurutnya, para peniaga turut diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, khususnya berkaitan penandaan harga, bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan urusan perdagangan dijalankan secara telus, adil dan teratur.


