Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: “Kehilangan ayah tercinta ketika berada di semester kelima menjadi antara cabaran terbesar kami untuk meneruskan perjuangan sehingga berjaya bergelar doktor,” kata Dr Kamariah Liashin, 39.
Pasangan kembar Dr Kamariah bersama adiknya Dr Karmilah Liashin yang turut dikenali sebagai ‘Dr Twin’ masing-masing berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan pendidikan.
Dr Kamariah berkata, impian Allahyarham ayah mereka untuk melihat kedua-dua anaknya bergelar doktor menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan pengajian meskipun terpaksa menghadapi kehilangan insan tersayang ketika perjalanan akademik masih berlangsung.

Anak kelahiran Kota Belud itu berkata, pemergian ayah mereka pada April 2025 akibat kanser otak merupakan antara detik paling sukar yang dilalui sepanjang tempoh pengajian.
Katanya, kejayaan memperoleh gelaran doktor bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya turut membawa makna besar buat keluarga, khususnya dalam merealisasikan impian Allahyarham ayah mereka.
“Jika melihat kepada cabaran peribadi, sudah semestinya kehilangan ayahanda tercinta ketika kami berada di semester kelima. Ayahanda meninggal dunia pada April tahun lalu (2025) akibat kanser otak.

“Ini juga antara harapan dan impian beliau untuk melihat anak kembarnya bergelar doktor,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-28, di sini, pada Sabtu.
Majlis penganugerahan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman.
Pasangan kembar itu memulakan pengajian pada Ogos 2023 menerusi tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Lebih membanggakan, kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun empat bulan, iaitu lapan bulan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
Dr Kamariah kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah, manakala Dr Karmilah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud.
Menurut mereka, kejayaan itu turut didorong sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu, ahli keluarga, pasangan masing-masing, anak-anak serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang perjalanan pengajian.
Sementara itu, Dr Karmilah berkata, pendidikan bukan sekadar berupaya mengubah kehidupan seseorang, malah menjadi wadah untuk wanita terus menghidupkan impian, mengembangkan potensi diri dan mencapai cita-cita tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Beliau berkata, wanita tidak seharusnya membataskan kemampuan diri dalam mengejar pendidikan dan aspirasi kehidupan kerana mereka juga berhak untuk terus maju serta membina masa depan.
Katanya, menjadi seorang ibu merupakan anugerah, manakala menjadi isteri adalah amanah dan tanggungjawab, namun kedua-duanya tidak seharusnya menjadi penghalang kepada wanita untuk terus menimba ilmu dan mengembangkan potensi diri.

Tambahnya, sokongan pasangan dan keluarga amat penting dalam membantu wanita merealisasikan impian, sekali gus membolehkan mereka mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga dengan pembangunan kerjaya.
“Pada saya, menjadi seorang ibu adalah anugerah, manakala menjadi seorang isteri merupakan amanah dan tanggungjawab. Namun, menjadi wanita dan isteri yang berpendidikan adalah antara pencapaian tertinggi bagi seorang wanita.
“Saya menyeru para suami supaya tidak meletakkan wanita dalam keadaan terpaksa memilih antara keluarga dengan kerjaya, sebaliknya bantulah mereka membina keluarga yang sentiasa menghidupkan impian.
“Jangan patahkan sayap mereka untuk terbang lebih tinggi,” katanya. – SABAH MEDIA



