HomeUtamaSK Berungis mampu lahirkan pemimpin, profesional masa depan - Mohammad Ghazali

SK Berungis mampu lahirkan pemimpin, profesional masa depan – Mohammad Ghazali

Read Time:1 Minute, 19 Second

TUARAN: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Berungis berpotensi menjadi pemimpin, pendidik dan golongan profesional pada masa depan menerusi pendidikan serta pembentukan disiplin diri.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, berkata setiap murid mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh dikembangkan menerusi pembelajaran, sukan, kepimpinan dan kreativiti.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program BEKAL ILMU di SK Berungis, di sini, hari ini.

Katanya, murid berkenaan berpotensi menjadi pemimpin, doktor, jurutera, usahawan dan tenaga profesional sekiranya terus berusaha mengembangkan bakat serta kemampuan masing-masing.

Beliau turut menasihatkan murid supaya membina disiplin, menghormati guru, mendengar nasihat ibu bapa dan tidak mudah berputus asa ketika menghadapi kesukaran.

Mohammad Ghazali, yang juga Penasihat Persatuan Permuafakatan Pendidikan PPD Tuaran, turut menghargai komitmen guru SK Berungis dalam mendidik murid serta mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengambil tahu perkembangan pembelajaran anak-anak.

Katanya, sokongan ibu bapa terhadap pihak sekolah penting bagi memastikan anak-anak mendapat perhatian dan bimbingan sewajarnya dalam pendidikan.

Pada program itu, murid terpilih menerima kelengkapan persekolahan, manakala sumbangan kepada pihak sekolah diserahkan secara simbolik bagi membantu keperluan pembelajaran.

Beliau berharap kelengkapan yang disumbangkan dapat dimanfaatkan murid dalam pembelajaran harian.

Dalam pada itu, Mohammad Ghazali turut menghargai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Berungis, XPERTS.MY dan Promajadi Sdn Bhd atas kerjasama menjayakan program berkenaan, yang menurutnya wajar diteruskan dan menjadi contoh kepada pihak lain dalam menyokong pendidikan di Tuaran.

Hadir sama Guru Besar SK Berungis, Eke Andreas Junior; Yang Dipertua PIBG, Shaharuddin Said; Presiden Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah, Murkam Hussien serta Penyelaras Program BEKAL ILMU, Mohd Rahmat Muhat Anuar.

RELATED ARTICLES
Utama

IDS perkasa pembangunan wanita Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular