Ainun Nasibah Wakil Sabah Ke Pidato Kenegaraan Kebangsaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Seorang guru, Ainun Nasibah Johar yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bole Sipitang mewakili Sabah ke Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021  pada 03 September depan. 

Ainun, 31, menewaskan enam peserta lain menerusi tajuk pidato ‘Keselamatan Fakes News, Bercakap Benar : Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong’ dalam pertandingan peringkat negeri secara hybrid melalui penjurian rakaman video pada 27 Mei lalu.

Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata wakil tunggal Sabah itu sekali lagi terpilih dalam saringan separuh akhir peringkat kebangsaan itu bagi memilih enam peserta akhir seluruh Malaysia pada 26 Julai 2021 berdasarkan markah. 

“Tahniah dan semoga berjaya kepada peserta Sabah yang terpilih ke peringkat akhir pada 3 September nanti.

“Harapan saya semoga peserta Sabah berjaya mendapat tempat dan sama-sama kita memberi sokongan serta semangat kepada wakil Sabah ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sabah 2021 di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, disini kelmarin.

Johan menerima wang tunai RM1,500, sebuah plak kristal dan sijil penyertaan manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan RM500 berserta plak kristal dan sijil penyertaan.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Azman Sipan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Zulhanin Hasni dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Peter Tong./PENERANGAN-

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *