HomeUtamaSambutan Hari Kebangsaan Negeri Sabah Berlangsung Sederhana

Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Sabah Berlangsung Sederhana

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 berlangsung secara sederhana bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sekitar jam 8 pagi, dif-dif undangan mula  mengisi ruang Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah disusuli ketibaan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Majlis diserikan dengan ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 8.26 pagi dan dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Rujukan Fatwa Pejabat Mufti Negeri Sabah, Mohammad Hisham Yayah.

Seusai bacaan doa, upacara menaikkan Bendera Malaysia dilakukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia diiringi nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. 

Seterusnya, pegawai Tentera Darat Malaysia, Mejar Ifdalhidayat Amirsharifuddin  mengetuai upacara lafaz ikrar disertai 10  pegawai dari jabatan kerajaan berpakaian seragam rasmi antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS). 

Sambutan pada tahun ini turut mengambil inisiatif untuk menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dengan sebuah tayangan montaj berdurasi lima minit yang menggambarkan rutin petugas barisan hadapan sepanjang pandemik melanda negeri ini. 

Pada sambutan itu juga, Hajiji menyampaikan momento kepada 10 wakil petugas barisan hadapan iaitu JKNS, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, APM, Jabatan Imigresen Malaysia  (JIM) Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Sabah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Pihak Berkuasa Tempatan serta Persatuan Bulan Sabit Merah mewakili semua badan bukan kerajaan. 

Majlis diakhiri dengan persembahan khas secara maya oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Jabatan Muzium Negeri Sabah yang memaparkan peningkatan ekonomi dan bahtera pemodenan, sikap patriotik dalam kalangan masyarakat serta rona nilai budaya dan semangat kesepaduan antara kaum.

Seraus jemputan serta petugas yang hadir diwajibkan menjalani ujian calitan serta saringan kesihatan selain lengkap dua dos vaksinasi Covid-19 untuk menjayakan sambutan berkenaan./PENERANGAN-

RELATED ARTICLES
Utama

SMM ambil tindakan undang-undang susulan salah laku bekas CEO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular