Mayat Anggota PARA ATM Yang Lemas Dijumpai Pagi Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

BERA: Mayat seorang tentera berusia 25 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, ketika menyertai Latihan Para Predator di Kampung Batu Bor, Ahad lalu, ditemui hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata mayat Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa ditemui kira-kira jam 8 pagi.

“Mayatnya ditemui kira-kira 40 kilometer dari tempat terakhir dia dilihat pada Ahad dan pihak polis sudah dimaklumkan,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan dan semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menyertai operasi SAR.

Mohammad Azrin dari Sungai Petani, Kedah, dilaporkan hilang pada jam 4.40 petang Ahad lalu ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dari Kampung Batu Bor ke Kampung Bohor Baru, yang juga sebahagian daripada modul eksesais itu.

Mangsa yang juga anggota tinjau daripada Kompeni PANDURA, dikatakan tenggelam ketika hampir tiba ke tebing sungai dan cubaan rakannya menarik Mohamad Azrin gagal sebelum bapa kepada seorang anak perempuan berusia sembilan bulan itu hilang daripada pandangan. 

Eksesais PARA Predator adalah latihan berskala besar bermula 24 Ogos lalu dan dijadualkan berlangsung selama dua minggu, bertujuan memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar atur gerak tentera darat, selain mendidik serta berkongsi pengetahuan peranan tentera dalam aspek keselamatan.

Latihan Para Predator membabitkan 1,900 anggota dan pegawai, serta 150 aset termasuk trak dan helikopter. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *