KOTA KINABALU: Murid Prasekolah Cerdik Nahaba Kota Belud, Sabah, Agles Geyog, 5, dinobatkan sebagai juara pertandingan mewarna menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) anjuran Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 9-25 Ogos 2021.
Pertandingan seumpama itu yang buat julung kalinya diadakan di Malaysia menyaksikan adik Agles berjaya menyaingi peserta lain melalui teknik dan penggunaan warna yang mencuri perhatian para juri sekali gus muncul sebagai penerima hadiah utama RM300.
Naib juara pula disandang Damia Alisha Mohd Ezwan Shah, 5, dari Tabika Kemas Desa Warisan Muar, Johor dengan hadiah kemenangan RM250.
Sementara itu, Chiew Yan Yik, 6 (Tadika Phor Tay Pulau Pinang) dan Giselle Tan Hui Lin, 6 (P.I.T.H Kindergarten Ipoh Perak) muncul sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat. Mereka masing-masing meraih hadiah wang RM200 dan RM150.
Dengan hadiah RM100, tempat kelima menjadi milik murid Tadika Merpati Kota Kinabalu, Sabah, Jack Yong Leong Yuan.
Kesemua pemenang diumumkan Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, FPP UMS, Dr. Connie Cassy Ompok dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pertandingan mewarna secara dalam talian sempena hari kebangsaan itu mendapat penyertaan 180 murid prasekolah dari seluruh Malaysia.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 88 kanak-kanak berjaya menghasilkan karya yang memenuhi syarat, manakala selebihnya tidak.
“Hal ini menunjukkan bahawa pendedahan teknologi AR ini sangat diperlukan bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada ibu bapa,” katanya sambil memaklumkan para peserta turut diberi sijil penyertaan digital (e-Certificate).
Bertemakan “Cintai Alam Kita: Dunia Cendawan”, pertandingan itu diadakan dengan Kerjasama Pusat E-Pembelajaran UMS, MySTEM Ambassador UMS, Industri Cendawan Cerah Sdn. Bhd dan Sabah Institute of Arts (SIA).
Dalam pada itu, Connie merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan semua kanak-kanak yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan.
“Sememangnya agak susah untuk membuat pemilihan pemenang kerana setiap kanak-kanak menghasilkan karya yang menarik.
“Terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa yang telah memberikan perhatian, kasih sayang serta galakan kepada anak-anak bagi menjayakan pertandingan ini.
“Tidak lupa juga, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jawatankuasa Juri Pemilihan pemenang.
“Selain saya sendiri, juri pemilih ialah Pengarah Pusat E-Pembelajaran UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Edmund Ng; Setiausaha Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Nur Suhaidah Sukor; dan Alley Emison.
“Harapan saya agar penganjuran program seumpama ini akan berkesinambungan bagi membolehkan lebih ramai dapat mendalami teknologi AR, seterusnya mengaplikasikan ia dalam pendidikan awal kanak-kanak di seluruh Malaysia,” ujar Connie.
Beliau turut mengumumkan 20 penerima sagu hati yang akan menerima wang RM50 seperti berikut:
1. Aldrad Arthur (6 tahun, Tadika Lohan Skim 2 Ranau, Sabah).
2. Chong Cayin (6 tahun, Prasekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kulai 1, Johor).
3. Dynal Eadric Dynastie (6 tahun, Prasekolah SRK Don Bosco Bundu Tuhan, Sabah).
4. Looi Wai Ni (6 tahun, Qdees, Selangor).
5. Eldora Corwayne Baker (6 Tahun, Tadika St. Theresa Tuaran, Sabah).
6. Angelababy Leong Enn Qi (6 tahun, Tadika Lagenda Merpati Kota Kinabalu, Sabah).
7. Ahmad Kamil Fikri (6 tahun, Prasekolah SK. Merampong Keningau, Sabah).
8. May Glorie Denis Gissong (6 tahun, Tadika St Peter Telipok Kota Kinabalu, Sabah).
9. Edriel Nathaniel Elihofni (5 tahun, Prasekolah Kebangsaan Kebayau Kota Belud, Sabah).
10. Darlene Ixandra Fazika (6 tahun, Tabika Kemas Sri Lanang 2, Johor Bahru).
11. Raneyla Binti Cryistol (5 tahun, Prasekolah SK. Tuarid Taud Keningau, Sabah).
12. Tan Ying Yi (5 tahun, Tadika Merpati Kota Kinabalu, Sabah).
13. Oliver Ostern Fredoline (6 tahun, Prasekolah SRK Don Bosco Bundu Tuhan, Sabah).
14. Ammar Arief B. Mohammad Airil Yusran (6 tahun, SK. Kampung Keningau, Sabah)
15. Joshua Joy Riging Jenny (5 tahun, Tadika Kasih Sejati Kota Belud, Sabah).
16. Olive Leandra Olidang Frankie (4 tahun, Tadika Pelita Taginambur Kota Belud, Sabah).
17. Rabiatul Adawiyah (5 tahun, Tabika Kemas Kg. Serusup Tuaran, Sabah).
18. Acacio Rai Jesny Glorin (6 tahun, Prasekolah Budiman SK. Pekan Telupid, Sabah).
19. Leonnex Alexander Anak Lucas (5 tahun, Tadika S.C.A Keningau, Sabah).
20. Aiman Syahmi Bin Khairil Azri (6 tahun, Tabika Kemas Kg. Narapan Sipitang, Sabah).