KOTA KINABALU: Kerja-kerja membaikpulih bekalan elektrik yang terganggu ekoran hujan dan banjir melanda beberapa kawasan di Pantai Barat Negeri Sabah sejak Khamis diteruskan oleh pasukan teknikal Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir. Idris Mohd Noor berkata, kerja-kerja tersebut dilaksanakan sebaik sahaja keadaan dan kawasan adalah selamat untuk dilalui.
“Antara tumpuan pembaikan adalah tiang elektrik yang tumbang kesan tanah runtuh, talian putus dan juga memastikan pencawang elektrik bertugas seperti biasa.
“Pasukan teknikal SESB bertugas 24 jam secara bergilir dengan bantuan kontraktor yang dilantik sejak Khamis lalu untuk memastikan kerja-kerja membaikpulih dilaksanakan demi kelangsungan bekalan kepada pengguna,” kata Idris dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan dengan itu, Idris meminta pengguna untuk menghubungi SESB Careline 15454, 088- 515000 atau Whatsapp 019- 852 5427 untuk sebarang aduan gangguan bekalan.
Beliau turut mengulangi nasihat agar orang ramai tidak menghampiri pepasangan SESB bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.