HomeUtamaLebih Banyak Bantuan Rakyat Selepas BKC - Perdana Menteri

Lebih Banyak Bantuan Rakyat Selepas BKC – Perdana Menteri

Read Time:3 Minute, 26 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Ketika pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) mula disalurkan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih banyak bantuan akan disalurkan kerajaan kepada rakyat bermula bulan depan.

Dalam sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kediamannya di Petaling Jaya khusus bagi meninjau proses pembayaran BKC yang bermula hari ini, Ismail Sabri berkata BKC adalah antara bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

“Harap semua proses pembayaran BKC yang dirancang Kementerian Kewangan berjalan lancar. Semoga tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh sebabkan kelewatan dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri yang masih menjalani kuarantin kendiri sejak 30 Ogos lalu setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19 turut menasihatkan warga BSN supaya memastikan penerima BKC yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.

Turut serta dalam sidang video ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berada di BSN Putrajaya di sini dan Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah yang berada di BSN di Bera, Pahang.

“Semoga apa yang diberikan kerajaan hari ini, walaupun mungkin tidak begitu besar tetapi sekurang-kurangnya dapat bantu mengurangkan perbelanjaan ketika ini,” kata Ismail Sabri yang turut merujuk makluman Tengku Zafrul bahawa banyak lagi bantuan akan diberikan kepada rakyat.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 September dan dijangka selesai pada 10 September, dengan dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500). Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200); manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan secara maya bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang hadir ke Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Putrajaya bagi meninjau situasi semasa hari pertama pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) kepada para penerima hari ini. – Foto BERNAMA Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan secara maya bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang hadir ke Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Putrajaya bagi meninjau situasi semasa hari pertama pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) kepada para penerima hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan mengagihkan pelbagai bentuk bantuan yang dirancang sehingga hujung tahun ini.

“Perdana Menteri bersetuju untuk teruskan bantuan-bantuan yang diumumkan,” katanya.

Antara bantuan yang akan diagihkan kerajaan ialah Bantuan Prihatin Rakyat fasa 3 berjumlah RM2.32 bilion yang akan disalurkan pada akhir bulan ini dan bantuan kehilangan pendapatan pada Oktober. 

Mengenai proses pembayaran BKC di BSN Putrajaya, Tengku Zafrul berkata ia dikendalikan dengan baik oleh warga BSN. 

Sementara itu dalam catatan di laman Facebook rasminya, Ismail Sabri berkata beliau berpeluang meninjau secara maya proses pembayaran BKC fasa satu yang dilaksanakan secara berperingkat menerusi institusi kewangan terpilih membabitkan peruntukan RM3.1 bilion hari ini.

Katanya beliau berkesempatan bertanya khabar dengan penerima BKC di beberapa cawangan BSN termasuk di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor secara dalam talian untuk memastikan proses pembayaran bantuan itu berjalan lancar.

Menurutnya, beliau juga mendapat laporan secara langsung daripada Tengku Zafrul yang turun padang meninjau sendiri proses pembayaran di BSN Putrajaya manakala timbalannya Mohd Shahar berada di BSN Triang, Pahang.

Ismail Sabri berkata beliau dimaklumkan Kementerian Kewangan akan mempermudahkan urusan pengagihan kepada masyarakat pedalaman dengan pembayaran tunai kepada penerima BKC yang tidak memiliki akaun.

“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ‘Keluarga Malaysia’ yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular