PICK : 16,000 Dos Vaksin CanSino Telah Dihantar Ke Semporna

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

SEMPORNA : Sebanyak 16,000 dos vaksin COVID-19 jenis CanSino telah dihantar ke daerah ini bagi melaksanakan Program Jangkauan Luar Vaksinasi khususnya melibatkan kawasan luar bandar termasuk pulau-pulau.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, dari jumlah itu sebanyak 3,000 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk terlibat termasuk penduduk bukan warganegara.

“Pada hari ini dalam lawatan hari kedua saya ke Sabah, saya telah melawat Pulau Larapan  dimana satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara dibuka bagi melaksanakan vaksinasi dengan mensasarkan 1,000 dos vaksin tunggal iaitu jenis CanSino kepada penduduk.

“Vaksin CanSino ini mudah digunakan sebab ia hanya dos tunggal sajaka, tidak payah datang dua kali.  Selain itu saya dapati kesedaran masyarakat tempatan agak tinggi dimana bukan sahaja penduduk di pulau ini malah ada juga yang datang dari pulau berhampiran.

“Kita nampak walaupun di pulau-pulau pedalaman dan sebagainya, komunikasi untuk meningkatkan kesedaran terhadap penerimaan vaksin juga semakin baik,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan lawatan ke Pulau Larapan sempena Program Jangkauan Luar Pemberian Vaksin kepada penduduk di pulau berkenaan.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya.

Khairy berkata, daerah ini juga dijangka akan menerima bekalan tambahan vaksin jenis CanSino sebanyak 10,000 dos lagi dalam tempoh terdekat.

“Saya telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) sekali lagi bahawa negeri ini akan diberi keutamaan menerima vaksin jenis CanSino.

“Ini kerana di Sabah seperti Pulau Larapan ini senang diberikan kerana yang datang bukan sahaja penerima di pulau ini tetapi kalau kita bagi dua dos mungkin akan agak sukar untuk menghubungi mereka semua selepas tiga minggu,” katanya.

Beliau turut berharap agar Malaysia dapat lebih banyak lagi bekalan vaksin CanSino yang telah ditempah selain berharap bekalan tambahan akan sampai bulan depan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *