BERNAMA
Putrajaya — Program vaksinasi COVID-19 secara walk-in atau jumpa terus di pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang dihentikan selepas 15 Sept ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata pemberhentian dilakukan setelah mengambil kira faktor penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksinasi adalah kecil dan kadar kehadiran ke PPV adalah rendah.
Sehubungan itu, bermula 16 Sept ini, penduduk di Lembah Klang yang belum divaksinasi boleh mendapatkan suntikan COVID-19 di klinik kesihatan tertentu yang senarainya akan diumumkan kelak.
“Vaksinasi walk-in (secara jumpa terus) di negeri-negeri masih lagi akan diteruskan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing untuk maklumat terkini mengenai walk-in,” katanya dalam sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Kesihatan, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Dr Adham dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang ‘bertukar portfolio’ masing-masing dalam barisan Kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyerahkan nota serah terima tugas mereka.
Sementara itu, Dr Adham berkata jumlah peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi di negara setakat semalam adalah 69.9 peratus.
Beliau berkata sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah untuk mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi di seluruh negara dan bagi negeri, 60 peratus lengkap divaksinasi menjelang akhir bulan ini.
“Alhamdulillah, kini kita berada di landasan yang betul dan vaksinasi mencapai kadar membanggakan,” katanya serta menambah pada 2 Sept lepas, Malaysia telah melepasi Amerika Syarikat dalam kadar vaksinasi ke atas populasi untuk sekurang-kurangnya satu dos.
Dr Adham menjelaskan kadar vaksinasi yang menurun di negara ini merupakan ‘petanda baik’ kerana ia menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia telah divaksinasi.
“Baru-baru ini banyak pertanyaan kenapa kadar vaksinasi kita menurun, ini sebenarnya petanda yang baik menunjukkan lebih ramai rakyat kini divaksinasi. Kita perlu menjangkakan penurunan dalam kadar vaksinasi pada minggu-minggu akan datang,” katanya.
Sementara itu, Dr Adham berkata seramai 547,595 pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) telah lengkap divaksinasi setakat semalam.
Berdasarkan semakan, beliau berkata terdapat lebih 195,000 pelajar IPTA dan 51,000 pelajar IPTS tidak mempunyai rekod pendaftaran untuk divaksinasi.
“Pelajar IPTA dan IPTS boleh walk-in ke PPV yang dibuka untuk dapatkan suntikan vaksin dengan syarat mereka membawa kad metrik (kad pelajar) masing-masing,” katanya.