KOTA KINABALU : Jejantas Skybridge kini boleh mula digunakan orang awam khususnya di sekitar Kota Kinabalu selepas ia dibuka kepada umum bermula semalam.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip berkata, jejantas sepanjang 400 meter ini adalah sebahagian daripada projek ‘Skybridge Pedestrian Linkages and Traffic Improvement Works’bernilai RM31.5 juta.
Katanya, jejantas itu merangkumi beberapa komponen termasuk jejantas yang dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, escalator dan lif untuk golongan kelainan upaya; lintasan pejalan kaki;laluan pejalan kaki berbumbung dan beberapa komponen lain.
“Jejantas Skybridge ini menghubungkan beberapa pusat komersial seperti Api-Api; Centre Point; Warisan Square dan Oceanus Waterfront melalui enam pintu masuk yang disediakan.
“Sementara itu pintu masuk ke-tujuh iaitu pintu masuk ke Centre Point belum lagi dibuka kerana pihak pengurusan pusat membeli belah itu telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembinaan Skybridge siap keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Noorliza berkata, pihak Centre Point juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan.
Katanya, secara keseluruhan, jejantas Skybridge dilengkapi dengan beberapa kemudahan termasuk jejantas berbumbung; escalator; dua lif untuk golongan kelainan upaya; 20 kiosk perniagaan berhawa dingin dan kamera litar tertutup bagi tujuan keselamatan.
“Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berharap jejantas ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetapi juga membantu menyediakan kemudahan perniagaan untuk mereka yang berminat.
“Borang tawarab untuk menyewa lot-lot berkaitan akan diedarkan dalam masa terdekat. Pihak kami juga berharap agar para pengguna sentiasa menjaga kebersihan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan,”katanya.