HomeUtamaJHL Sabah Ambil Inisiatif Lakukan Ujian Saringan COVID-19 Terhadap Orang Utan

JHL Sabah Ambil Inisiatif Lakukan Ujian Saringan COVID-19 Terhadap Orang Utan

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah telah mengambil inisiatif untuk melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap semua orang utan yang berada dalam jagaan di setiap fasiliti iaitu di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok serta di Taman Hidupan Liar Lok Kawi. 

Penolong Pengarah dan Doktor Veterinar Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan berkata, hal ini berikutan jumlah kes harian COVID-19 di Sabah yang melambung tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Oleh kerana kami mempunyai kes positif COVID-19 dalam kalangan penjaga dan kakitangan yang bekerja di dua fasiliti di Sabah yang menempatkan orang utan tawanan dan separa tawanan.

“Kami segera melakukan penutupan menyeluruh terhadap kemudahan dengan menguji semua orang utan untuk memastikan bahawa mereka bebas daripada jangkitan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin

Beliau berkata, ujian saringan COVID-19 telah menjadi perkara penting dalam membantu mengatasi wabak itu dan ia penting demi populasi orang utan itu kerana penyakit ini terbukti dapat memudaratkan kesihatan dan pemulihan mereka. 

Katanya, semua keputusan ujian saringan adalah negatif dan ia membuktikan penjagaan ketat yang dilakukan oleh kakitangan jabatan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, sejumlah 30 orangutan diuji oleh pasukan veterinar dari Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Wildife Rescue Unit (WRU) yang diketuai oleh Dr Rosa Sipangkui, Dr Nabila Sarkawi dan dibantu oleh Dr Mischellena Samanthan serta Dr Uma Maheswary Kalamanathan. 

“Syukurlah, semua orang utan negatif COVID-19. Saya telah mengarahkan pasukan veterinar kami untuk terus memantau semua orangutan dengan teliti sekiranya terdapat sebarang simptom dan gejala jangkitan COVID-19 dengan mengulangi ujian saringan secara berjadual.

“Ini merupakan kali pertama orang utan diuji menggunakan ujian saringan Antigen COVID-19 di seluruh Malaysia. 

“Hal ini kerana sudah menjadi keutamaan kami untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan orang utan diberi perawatan veterinar terbaik,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Pengerusi Orangutan Appeal UK (OAUK) Datuk Sue Sheward kerana telah membantu menyediakan kit ujian Antigen COVID-19, oksimeter nadi, dan ubat pencegahan untuk orang utan serta kakitangan Sepilok dan WRU.

Sue dalam pada itu berkata, orang utan berkongsi 96.4 peratus DNA dengan manusia. Oleh itu, amat penting sekiranya dapat memeriksa virus berkenaan terhadap haiwan itu agar dapat terus melindungi spesies ini. 

Katanya, kesihatan dan kesejahteraan kakitangan juga tidak kurang sama pentingnya. Mereka telah bekerja seperti sedia kala sepanjang pandemik ini agar dapat memberikan tahap penjagaan yang terbaik.

“OAUK gembira mendengar semua keputusan ujian yang dilakukan ke atas orang utan adalah negatif. 

“Kakitangan di Sepilok patut diberikan penghargaan atas komitmen mereka yang berterusan terhadap penjagaan terbaik terhadap orangutan khususnya ketika tempoh mencabar ini,” katanya.

Pada tahun ini, OAUK juga akan memberi sokongan terhadap aktiviti pemuliharaan yang akan dijalankan oleh unit Jabatan Hidupan Liar yang baru dibentuk iaitu Endangered Species Conservation Unit (ESCU) yang berpusat di Lahad Datu selain WRU dan Sepilok Orangutan Appeal. – UB

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular