Kesatuan Dan Perpaduan Antara Rakyat Adalah Kunci Kepada Kejayaan Negara – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut merakamkan ucapan Hari Malaysia 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraihkan pada hari ini. (16 Sept)

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia. Ayuh kita bangkit menjadi Keluarga Malaysia yang bermaruah. Kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan negara.

“Semoga Malaysia terus aman dan harmoni. Rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling bertoleransi. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kemakmuran kepada negara tercinta Malaysia,”kata Hajiji dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebooknya yang dimuatnaik hari ini.

‘Pada hari dan saat yang penuh gilang-gemilang ini, dengan nama Allah Yang Maha Kuasa, demi sesungguhnya kita akan pertahankan bendera, bangsa dan negara kita dengan segala daya upaya kita, sekalipun dengan jiwa dan darah kita’.

Itulah kata-kata keramat yang dilafazkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia sewaktu pengisytiharan secara rasmi Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut Hajiji, catatan sejarah ini pasti tidak akan dilupakan oleh seluruh rakyat malah akan terpateri dalam jiwa dan sanubari kita semua.

Setelah itu, bermulalah episod perjalanan dan perjuangan bangsa Malaysia. Dengan harapan yang cukup tinggi para pejuang tanah air, Malaysia mengorak langkah meniti cabaran demi cabaran membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera.

“Alhamdulillah, hari ini setelah dihadapkan dengan pelbagai ujian, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang disegani di peringkat antarabangsa.

“Saat ini, Malaysia mahupun dunia masih berdepan dengan krisis kesihatan terburuk akibat penularan COVID-19. Malah, ekonomi dunia juga hampir lumpuh. Kita bersyukur dengan kerja keras pimpinan negara, Malaysia bakal keluar daripada kemelut akibat wabak ini. Insya-Allah, proses pemulihan negara akan mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2021 yang dilaksanakan secara norma baharu buat kali kedua tahun ini akan dilaksanakan secara hibrid selain turut disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen tempatan malam ini. (16 Sept)

Acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu akan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga turut dijadualkan hadir di SICC malam ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *