HomeUtamaPICK : Lebih 400,000 Remaja di Sabah Divaksinasi Bermula Hari Ini

PICK : Lebih 400,000 Remaja di Sabah Divaksinasi Bermula Hari Ini

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Lebih 400,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan mula diberikan vaksin jenis Pfizer-BioNtech bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, daripada jumlah itu, 200,445 adalah pelajar sekolah di negeri tersebut.

Jelas Dr Rose Nani, dua kaedah pemberian vaksin kepada golongan ini, iaitu walk-in ke pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada selain vaksinasi dilakukan di sekolah-sekolah dengan bantuan Jabatan Pendidikan Sabah.

“Data populasi golongan remaja diterima menerusi aplikasi MySejahtera dan Jabatan Pendidikan Sabah selain bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNtech adalah mencukupi untuk memberi vaksin kepada remaja di Sabah.

“Keputusan membenarkan operasi pemberian vaksin kepada golongan remaja ini akan meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini sekali gus mampu mencapai imuniti kelompok,” katanya ketika memetik laporan Astro AWANI disini semalam.

Ditanya mengenai pemberian vaksin di sekolah, Dr Rose Nani menambah, perincian operasi akan dimuktamadkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani menggesa ibu bapa mahupun penjaga untuk memberi kerjasama dengan membenarkan anak atau jagaan mereka menerima vaksin.

Katanya, hal ini penting bagi memastikan keselamatan para pelajar sebelum mereka memulakan sesi persekolahan pada 3 Oktober depan.

“Apa yang penting, kami di JKNS berharap kerjasama ibu bapa dan penjaga untuk memberi kebenaran (consent) anak-anak mereka untuk menerima vaksin COVID-19. Kerjasama mereka amat penting,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan, Sabah akan memulakan program imunisasi melibatkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, bermula hari ini.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan pada Mesyuarat Kabinet negeri pada semalam.

“Keputusan ini juga selari dengan pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan golongan dewasa dan remaja divaksin sekali gus menjelang pembukaan sekolah pada 3 Oktober depan,” kata Hajiji.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular