KOTA KINABALU : Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas yang yang terlibat dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Selasa ini diminta untuk membuat ujian calitan COVID-19 bermula esok.
Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata, saringan RTK Antigen tersebut adalah sebagai salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.
“Selain lengkap dua dos vaksin kepada semua ahli-ahli yang berhormat dan petugas, kita juga menetapkan SOP saringan RTK Antigen.
“Semua ahli yang berhormat perlu membuat ujian calitan 48 jam sebelum hari perasmian dan seawalnya hendaklah dibuat pada esok dan dikemukakan kepada pejabat DUN selewatnya Isnin ini,” katanya.
Berhubung SOP, Kadzim turut menasihatkan semua ADUN agar tidak terlalu lama berada di dalam dewan untuk mengelakkan jangkitan berlaku di lokasi terbabit.
“Atas saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita menasihatkan semua ahli yang berhormat agar tidak terlalu lama berada dalam dewan.
“Ini bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 berlaku dalam kalangan ahli-ahli dewan serta petugas-petugas yang lain. Untuk itu, kita akan memendekkan tempoh persidangan dan pada kali ini pun ahli-ahli yang berhormat hanya akan membahaskan ucapan dasar Tuan Yang Terutama,” katanya.
Dalam pada itu, Kadzim turut memaklumkan, pihaknya juga telah memasang penghadang di tempat duduk ahli-ahli dewan bagi tujuan sama.
Mengenai jumlah kehadiran ahli dewan, beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk pengecualian hadir.
“Kita maklum bahawa ada beberapa Ahli Yang Berhormat juga merupakan Ahli Parlimen dan mereka masih bersidang,” katanya kepada media selepas memantau raptai kedua Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN Sabah Ke-16, disini hari ini.
Raptai dihadiri Timbalan-Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun, Setiausaha DUN, Rafidah Maqbool Rahman dan Timbalannya, Mohd Jayrie Jaya serta para petugas daripada jabatan serta agensi yang terlibat.
Istiadat pembukaan akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Selasa ini, diikuti persidangan selama dua hari./Penerangan-