KOTA KINABALU : Semua pejabat kerajaan negeri akan mula beroperasi bermula esok dengan kapasiti 80 peratus kakitangan bertugas.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 20 peratus kakitangan lagi akan melaksanakan tugas dari rumah.
“Kerajaan negeri telah memutuskan untuk semua pejabat kerajaan negeri Sabah beroperasi pada kapasiti 80 peratus bekerja di pejabat dan 20 peratus lagi bekerja dari rumah
“Ia akan berkuatkuasa mulai 21 September iaitu bermula esok,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Beliau berkata semua kakitangan yang hadir ke pejabat dan semua pelanggan serta pengunjung hendaklah telah lengkap divaksin.
Dalam pada itu, Masidi berkata, kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk memberi kebenaran untuk dua orang pemain golf berkongsi satu buggy.
Katanya, ia dengan syarat terdapat pemisah atau dinding plastik di antara kedua-dua pemain tersebut.
“Semua pemain hendaklah juga telah lengkap divaksin dan mempunyai status risiko rendah pada aplikasi MySejahtera.
“Kebenaran ini juga akan berkuatkuasa mulai 21 September pada hari esok,” katanya.