KOTA KINABALU : Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi Universiti Malaysia Sabah (IPT-UMS) sehingga Jumaat lalu berjaya melaksanakan pemberian vaksinasi kepada remaja sebanyak 2,609 suntikan vaksin COVID-19.
Pengarah Hospital UMS Profesor Dr Helen Lasimbang berkata, pemberian vaksin dibawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja itu mula dilaksanakan pada 16 September yang lalu.
“Vaksinasi untuk remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun di PPV IPT-UMS mula dibuka pada 16 September lalu dimana kami mensasarkan sebanyak 3,000 dos diberikan sehari.
“Tetapi dalam tempoh dua hari selepas dibuka kepada remaja, kami telah melaksanakan pemberian vaksin sebanyak 2,609 suntikan dan jumlah itu belum termasuk pemberian pada hari ini,”katanya ketika ditemui ketika meninjau proses pemberian vaksin kepada remaja di PPV IPT-UMS disini hari ini.
Katanya, semua remaja yang hadir ke PPV berkenaan adalah secara hadir terus (walk-in) selain perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga.
“Saya memang menggalakkan semua ibu bapa atau penjaga untuk hadir membawa anak mereka untuk diberikan vaksinasi bagi memastikan mereka tidak dijangkiti COVID-19 yang lebih teruk.
“Jika seseorang itu sudah divaksinasi, masih boleh dijangkiti COVID-19 risiko untuk mendapat jangkitan lebih teruk itu akan kurang. Selain itu, mereka juga akan kembali ke sekolah dan bergaul dengan ramai orang, justeru vaksinasi itu perlu bagi mencegah jangkitan lebih teruk,” katanya.
PPV IPT-UMS dibuka setiap hari bermula Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang termasuk cuti umum.