63,826 Remaja Sabah Terima Dos Pertama Vaksin COVID-19 setakat ini

Read Time:1 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 63,826 remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Sabah telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 menerusi program vaksinasi bagi kumpulan berkenaan, setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata jumlah tersebut adalah 15 peratus daripada 426,000 golongan berkenaan bagi program vaksinasi bermula Khamis lepas (16 Sept).

“Jumlah itu juga termasuk 24,667 golongan remaja yang mengambil vaksinasi berkenaan pada hari ini. Penduduk dewasa lengkap divaksinasi pula lebih 1.56 juta orang atau 56.6 peratus daripada populasi dewasa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dilapor berkata Sabah membuat keputusan untuk memberikan vaksin COVID-19 bagi kumpulan remaja bermula Khamis lepas.

Masidi berkata Sabah merekodkan 1,356 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah kumulatif 185,577 kes dengan saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes iaitu 766 atau 56.5 peratus; diikuti saringan bergejala (380 kes); saringan kluster (11 kes); dan selebihnya lain-lain saringan.

Beliau berkata 1,912 pesakit pula dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif pulih kini 160,414 orang manakala 4,106 pesakit masih menerima rawatan.

“Sebanyak 35 kes kematian dilaporkan semalam. Bagaimanapun bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam. Ada kes kematian mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian dari tarikh sebenar,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.