KOTA KINABALU: Kejayaan anak jati Kiulu, Petronella Douny menjadi wanita pertama di Malaysia memiliki Lesen Kejurulatihan AFC Pro Diploma disifatkan sebagai pencapaian bersejarah yang mampu membuka lembaran baharu pembangunan bola sepak wanita khususnya di Sabah.
Pencapaian itu bukan sahaja membanggakan negeri ini, malah menjadi dorongan untuk memperkukuh kepakaran kejurulatihan tempatan serta melahirkan lebih ramai pemain wanita berkualiti pada masa depan.
Petronella yang kini bertugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah memperoleh kelayakan berprestij itu selepas menamatkan kursus JFA-AFC Diploma Course for Elite Female Coaches selama setahun tiga bulan.
Bekas pemain kebangsaan berusia 39 tahun itu memulakan latihan pada September 2024 menerusi empat modul yang berlangsung di Jepun dan China.
Beliau berkata, pengalaman menimba ilmu bersama jurulatih serta tenaga pengajar dari negara berbeza memberikan cabaran tersendiri, terutama dari segi disiplin, komitmen dan pengorbanan masa.

Bagaimanapun, keinginan untuk memberikan yang terbaik ketika mewakili Malaysia menjadi pendorong utama beliau menamatkan keseluruhan latihan dan penilaian ditetapkan.
“Saya sangat gembira dan bangga, namun pencapaian ini datang dengan tanggungjawab yang lebih besar.
“Dengan kelayakan ini, saya berhasrat menggunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sebagai jambatan kepada pembangunan bola sepak wanita di Sabah dan seluruh Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi pemain akan datang,” katanya.
Kelayakan itu disahkan secara rasmi pada 13 Oktober lalu selepas beliau menjalani penilaian akhir bersama tenaga pengajar utama dari Jepun, Takeshi Ono, termasuk penilaian bersama Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut mengucapkan tahniah atas kejayaan berkenaan dan berharap Petronella terus menyumbang kepada kemajuan bola sepak wanita di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah, Mohd Arziz Afizy Rumsani berkata, pencapaian Petronella merupakan satu kebanggaan buat Sabah dan bola sepak wanita Malaysia.

Beliau berkata, kejayaan itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang kejurulatihan dan memainkan peranan dalam pembangunan sukan berkenaan.
Sabah FA turut merakamkan ucapan tahniah kepada Petronella atas kejayaan memperoleh lesen kejurulatihan berkenaan, sekali gus mencipta sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia yang memilikinya.
Dalam pada itu, Petronella turut merakamkan penghargaan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), mentornya Lim Kim Chon serta Mohd Arziz atas sokongan, sumbangan dan kepercayaan sepanjang perjalanan tersebut.



